Langkau ke kandungan utama
1

Anugerah Media Pembinaan 2018 Semenanjung Malaysia

Anugerah Media Pembinaan 2018 Semenanjung Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER 2018 - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), agensi Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini meraikan kecemerlangan 19 wartawan media Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina, di Anugerah Media Pembinaan CIDB (AMP) 2018, Semenanjung Malaysia. The Star mengungguli AMP 2018 dengan membawa pulang sekurang-kurangnya satu anugerah bagi setiap kategori yang dipertandingkan iaitu Anugerah Media Cetak & Portal Berita, Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian, dan Anugerah Fotografi.

AMP dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada media yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif-inisiatif Kerajaan Malaysia dalam industri pembinaan menerusi Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP). Penyampaian anugerah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Tuan Baru Bian.

Karya-karya penyertaan AMP CIDB yang dinilai perlulah berkisar tentang CITP dan industri pembinaan. Tempat pertama bagi Anugerah Media Cetak & Portal Berita AMP 2018 Semenanjung dimenangi oleh Berita Harian dengan liputan bertajuk “Operasi kren dimonopoli warga asing & CIDB lahir 1,200 pelatih pengendalian kren setahun”, manakala tempat kedua dan ketiga, kedua-duanya dimenangi oleh The Star, dengan laporan meliputi topik-topik mengenai keselamatan dan kesihatan penginapan pekerja pembinaan dan usaha meningkatkan kualiti dan keselamatan jalan raya.

Selain daripada itu, pemenang utama bagi Kategori Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian dimenangi oleh RTM, bagi liputan “Potensi kerjaya industri binaan”. Manakala, Bernama berjaya merangkul hadiah tempat pertama bagi Kategori Fotografi dengan foto bertemakan Pembangunan Tun Razak (TRX).

Tarikh Dan Waktu Acara