ANUGERAH INDUSTRI LEBUH RAYA 2026 HARGAI KECEMERLANGAN DAN PERKUKUH INDUSTRI LEBUH RAYA NEGARA
PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited memperkukuh pembangunan dan kemajuan industri lebuh raya negara menerusi pengiktirafan terhadap kecemerlangan serta sumbangan pemain industri dalam menyediakan rangkaian lebuh raya yang berkualiti, selamat dan cekap.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Anugerah Industri Lebuh Raya 2026 bertemakan “46 Tahun Menghubung Rangkaian, Mengiktiraf Kecemerlangan” yang berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya, malam ini.
Majlis tersebut dihadiri oleh YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya dan YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya.
Anugerah Industri Lebuh Raya merupakan platform pengiktirafan terhadap pencapaian, sumbangan dan kecemerlangan pihak yang terlibat dalam pembangunan serta pengurusan industri lebuh raya negara.
Pengiktirafan ini turut mencerminkan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), syarikat konsesi dan seluruh pemain industri dalam memastikan pembangunan infrastruktur lebuh raya terus mampan serta memenuhi keperluan pengguna.
KKR berharap pengiktirafan seumpama ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan standard penyampaian perkhidmatan, inovasi dan kecemerlangan industri lebuh raya, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menyediakan infrastruktur pengangkutan yang selamat, cekap dan berdaya saing.
- Log in to post comments