Langkau ke kandungan utama
1

77 Organisasi Tandatangani Akujanji CITP di Majlis Graduasi 147 pelatih ABM

KOTA KINABALU, 5 September 2016:  Penggiat industri pembinaan serta agensi yang berkaitan di negeri Sabah menyatakan sokongan padu terhadap pelaksanaan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) dengan menandatangani Akujanji CITP pada hari ini. 

Sebanyak 77 organisasi telah menandatangani Akujanji di hadapan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, sempena  Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Menandatangani Akujanji CITP di peringkat negeri Sabah.

Akujanji yang ditandatangani hari ini menjadikan 232 jumlah Aku Janji CITP yang telah ditandatangani setakat ini di seluruh negara.

CITP adalah pelan pelaksanaan komprehesif industri pembinaan yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), bermatlamat untuk mewujudkan pembinaan industri yang berterusan di negara ini sekaligus mampu bersaing di arena antarabangsa.

Di dalam Majlis yang sama, Musa Aman turut menyampaikan Anugerah Pelatih Terbaik kepada 10 orang bekas Pelatih Akademi Binaan Malaysia Sabah yang menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa latihan dan juga di dalam kerjaya yang diceburi. Beliau juga turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Marinsun bin Lanun, Pemenang Pingat Emas di dalam bidang Wall & Floor Tiles, Pertandingan WorldSkills Malaysia.

Pada majlis tersebut, seramai 147 bekas pelatih ABM yang telah tamat latihan menerima sijil kemahiran masing-masing dalam bidang berimpak tinggi termasuk operasi jentera, pengimpalan dan “blasting and painting.”                                                    

Tujuan penubuhan Akademi Binaan Malaysia (ABM) adalah untuk melahirkan pekerja mahir dalam industri pembinaan. Sejak tahun 2010, sehingga kini enam (6) cawangan ABM di seluruh negara telah melatih seramai 253,247 belia dan pekerja mahir di dalam industri pembinaan. Di ABM Wilayah Sabah, sehingga kini jumlah belia dan pekerja binaan yang telah dilatih adalah seramai 57,430 orang.

Tarikh Dan Waktu Acara