Langkau ke kandungan utama
1

210 Graduasi ABM Wilayah Tengah Diraikan

210 Graduasi ABM Wilayah Tengah Diraikan

KUALA LUMPUR, 17 NOVEMBER 2018 - Akademi Binaan Malaysia (ABM), pusat penilaian dan latihan di bawah kendalian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini telah mengiktiraf seramai 210 pelatih mahir yang telah berjaya menamatkan kursus-kursus di ABM Wilayah Tengah dengan penyampaian Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) CIDB.

Daripada 210 pelatih yang diraikan hari ini, seramai 20 pelatih belia turut menerima Anugerah Kecemerlangan Program Latihan Kompetensi Kemahiran Pembinaan CIDB. Para pelatih yang diraikan berjaya menamatkan latihan kompetensi kemahiran pembinaan dengan cemerlang dalam 13 tred termasuk kluster bidang bangunan, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal, jentera berat, pendawaian elektrik, minyak dan gas.

Majlis hari ini turut meraikan kejayaan enam bekas pelatih ABM yang telah berjaya melakarkan sejarah dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa yang mana keenam-enam pelatih ini mendapat pengiktirafan berprestij di dalam pertandingan kemahiran WorldSkills Asia (WSA) 2018 yang berlangsung di Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC) pada 26 – 30 November baru-baru ini.

Majlis graduasi pelatih-pelatih ABM Wilayah Tengah ini dirasmikan oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Dato’ Ir. Ahmad ‘Asri Bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB.

Pencapaian ini adalah sebahagian daripada komitmen CIDB untuk mewujudkan lebih ramai tenaga mahir tempatan dalam sektor-sektor pembinaan dan yang berkaitan, membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, selaras dengan teras strategik Produktiviti di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016 – 2020.

Di samping meningkatkan produktiviti dan kebolehpasaran para pelatih khususnya dalam kalangan belia. Sejak penubuhannya pada tahun 1997, ABM telah berjaya melahirkan hampir 400,000 pelatih mahir dan separa mahir, yang merangkumi belia lepasan sekolah dan personel binaan dengan sebanyak RM700 juta telah diperuntukkan.

Kampus-kampus ABM yang beroperasi di koridor ekonomi seluruh Malaysia termasuk Kuala Lumpur (Wilayah Tengah), Kedah (Wilayah Utara), Johor (Wilayah Selatan), Terengganu (Wilayah Timur), Sabah (Wilayah Sabah) dan Sarawak (Wilayah Sarawak).

Tarikh Dan Waktu Acara