Langkau ke kandungan utama
1

11 Wartawan Mendapat Pengiktirafan Di AMP 2018 Negeri Sarawak

11 Wartawan Mendapat Pengiktirafan Di Amp 2018 Negeri Sarawak

KUCHING, 20 OKTOBER 2018: Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensinya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini meraikan kecemerlangan 11 wartawan dan jurugambar di Anugerah Media Pembinaan CIDB 2018 (AMP 2018), Negeri Sarawak.

Majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada media yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap industri pembinaan dan inisiatif-inisiatif Kerajaan Malaysia menerusi Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP).

Selaras dengan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020 oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini yang menyatakan kelangsungan projek-projek infrastruktur di Sarawak maka pihak media mempunyai peranan penting dalam mendidik orang ramai di samping memastikan perkembangan industri pembinaan negara secara berterusan melalui kupasan dan laporan secara konsisten dan berkualiti.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Tuan Baru Bian dan turut hadir adalah Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Haji Akob dan Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

Bagi kategori Media Cetak & Portal Berita (Berita & Rencana), tempat pertama dimenangi oleh Borneo Post menerusi wartawannya, Rachel Lau Ker Qing dengan karya bertajuk ‘China's Belt & Road : What's in it for Malaysia?’. Manakala tempat kedua dimenangi Kumpulan Media Prima, Berita Harian menerusi wartawannya Mohd Latif Ahmad dan Muhd. Amirul Faiz Ahmad. Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai beserta sijil dan trofi.

Manakala bagi kategori Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian, tempat pertama dimenangi oleh RTM Sibu menerusi wartawannya, Ruth Ampong & Johnny Bilon menerusi liputannya, ‘Pan Borneo Jajaran Sungai Awik’. Sementara tempat kedua dan ketiga juga Kumpulan Media Prima, TV3 Sarawak menerusi liputan berita ‘Jalan Pesisir Nadi Baharu Laluan Darat Sarawak’ dan ‘Nafas baru menaik taraf sekolah pendalaman’.

Walau bagaimanapun, bagi kategori Fotografi hanya terdapat dua tempat pemenang, yang dimenangi oleh The Star bagi tempat pertama menerusi jurugambarnya Zulazhar Sheblee, dengan gambarnya yang bertajuk ‘Into the Sunset - A view of the Pan Borneo’ disusuli oleh jurugambar Bernama Kuching, Muhamad Razali Nordin bagi tempat kedua dengan gambarnya yang bertajuk ‘Empangan Bakun Diserah Kepada Kerajaan Negeri’. Kedua-dua pemenang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai beserta sijil dan trofi.

Penyertaan terbuka kepada semua wartawan arus perdana di tiga lokasi liputan iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Setiap kawasan liputan terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu: Kategori Media Cetak & Portal Berita (Berita & Rencana), Kategori Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian dan Kategori Fotografi.

Tarikh Dan Waktu Acara