Langkau ke kandungan utama
1

Seksyen 3 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) telah dibuka

PULAU INDAH, 1 Oktober : Mulai 1 Oktober 2013 secara rasminya seksyen 3 Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) dari Teluk Panglima Garang, menyusuri Pulau Carey dan merentasi Selat Lumut hingga ke Pulau Indah dibuka kepada lalu lintas.

Pelancaran Seksyen 3 Lebuhraya SKVE dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, pada majlis yang berlangsung di Plaza Tol Pulau Indah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Himmat Singh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Dato’ Ir. Haji Ismail bin Md Salleh dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan SKVE, Tan Sri Rahmat bin Abu Bakar.  Dengan pelancaran dan pembukaan rasmi Seksyen 3 Lebuhraya SKVE, pengguna kini mampu menjimatkan masa perjalanan dan jarak perjalanan antara Putrajaya ke Pelabuhan Barat  dari  1 jam 30 minit  kepada 45 minit dengan menggunakan laluan sedia ada.

YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, berkata projek pembinaan Seksyen 3 lebuhraya SKVE membabitkan laluan sepanjang 18.9 kilometer ini melengkapkan keseluruhan jajaran Lebuhraya SKVE yang menghubungkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya ke Pulau Indah dan kawasan perindustrian Pelabuhan Barat.  Pembinaan Seksyen 3, Lebuhraya SKVE turut melibatkan pembinaan sebuah jambatan sepanjang 1.67km bagi menghubungkan  Pulau Carey dengan Pulau Indah.

" Jambatan ini dibina dengan rekabentuk ketinggian bersesuaian iaitu 25 meter yang mampu menampung laluan pelayaran serta pembangunan industri perkapalan dan maritim di sekitar kawasan ini,” katanya dalam ucapan perasmian pembukaan Seksyen 3, Lebuhraya SKVE di sini semalam.

Sementara itu, YB Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof berkata, orang ramai boleh menggunakan laluan ini secara percuma bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober 2013 dari persimpangan  Persimpangan Teluk Panglima Garang ke Persimpangan Pulau Indah.  Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi segala peraturan-peraturan jalan raya bagi menjamin keselamatan diri dan para pengguna yang lain.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita