PERKUKUH PEMANTAUAN PROJEK LTU DAN KBKK DI NEGERI KELANTAN
KOTA BHARU – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited memastikan pelaksanaan projek infrastruktur utama di Negeri Kelantan berjalan lancar menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (JPPK) bagi Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) Negeri Kelantan (Task Force) Bilangan 5 Tahun 2026.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj B. Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan ini berlangsung di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.
Turut hadir Dato' Ir. Ibrahim bin Esa, Ketua Pengarah Kerja Raya, Pegawai Kanan dan wakil- wakil Kementerian/Jabatan Persekutuan serta Negeri. Mesyuarat ini bertujuan meneliti perkembangan semasa pelaksanaan kedua-dua projek, mengenal pasti isu dan cabaran di lapangan serta membincangkan langkah penyelesaian bagi memastikan kemajuan projek dapat dicapai mengikut perancangan.
KKR akan terus memperkukuh penyelarasan dan kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Kelantan serta agensi pelaksana bagi memastikan setiap isu berbangkit ditangani secara berkesan dan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera.
Pelaksanaan projek LTU dan KBKK amat penting dalam meningkatkan kesalinghubungan, memperkukuh jaringan pengangkutan serta merancakkan pembangunan sosioekonomi Negeri Kelantan.
Komitmen berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan projek-projek berimpak tinggi ini dapat disiapkan dengan berkualiti demi manfaat dan kesejahteraan rakyat.
- Log in to post comments