PERDANA MENTERI RASMIKAN ICW & BUILDXPO MALAYSIA 2026, PACU TRANSFORMASI DAN INOVASI INDUSTRI PEMBINAAN
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (International Construction Week - ICW) Edisi Ke-28 dan Pameran Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa (BuildXpo Malaysia) Edisi Ke-4 bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Acara dwitahunan berprestij berasaskan tema "Beyond Limits" ini dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), serta Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. Perhimpunan ini menghimpunkan lebih 110 pempamer dari 10 buah negara dan wilayah bagi memperkukuh daya saing serta memacu transformasi ekosistem pembinaan negara.
Sorotan utama majlis berkenaan menyaksikan pelancaran Pelan Hala Tuju Pembinaan Modular Malaysia 2026–2030 (Malaysia Modular Construction Roadmap 2026-2030), sebuah kerangka strategik KKR yang menggariskan penerapan kaedah pembinaan modular menyeluruh demi mempercepatkan tempoh penyiapan projek, mengoptimumkan penggunaan sumber, serta menterjemahkan keupayaan pengkomersialan teknologi syarikat tempatan.
Bagi mengukuhkan pemindahan teknologi berimpak tinggi, CIDB turut memeterai dua (2) kerjasama strategik Sistem Binaan Berindustri (IBS) melibatkan PCA Group (unit modular 3D, automasi, dan BIM) serta NUVAH bagi melokalisasikan teknologi percetakan konkrit 3D rekaan Jepun menerusi projek perintis dan pemerkasaan bakat tempatan.
Persidangan dan pameran seluas 18,000 meter persegi yang berlangsung sehingga 12 November 2026 ini mensasarkan kehadiran 17,000 pelawat perdagangan serta unjuran penjanaan transaksi perniagaan mencecah RM1.5 bilion, sekali gus menterjemahkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memacu pembangunan infrastruktur yang mampan, pintar, dan berdaya saing di peringkat global.
- Log in to post comments