Langkau ke kandungan utama
1

Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan

JOHOR, 8 MEI 2017 : FTRoadpedia Zon Selatan telah memulakan jelajahnya pada 7 hingga 9 Mei 2017, menyusuri perjalanan lebih 600 kilometer, menjengah lokasi menarik, menjamah makanan setempat, meninjau tapak projek dan mengaudit Jalan Persekutuan dari Selangor, Negeri Sembilan, Melaka hingga ke Johor Darul Takzim. Cetusan idea Menteri Kerja Raya YB. Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof bertujuan mengembalikan era kegemilangan jalan-jalan persekutuan yang sewajarnya dekat di hati rakyat. Objektif utama Jelajah FTRoadpedia KKR 2017 adalah mengajak rakyat mengenali dan mendekati ‘jalan lama’ yang kaya dengan kepelbagaian sosio budaya kehidupan masyarakat serta keindahan alam semula jadi.

Selain itu, Kementerian ingin memberi kesegaran pandangan (refreshing outlook) terhadap Jalan Persekutuan yang dibina dan diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Dengan slogan “cipta detik indah bersama” (Let’s Create A Moment), jelajah FTroadpedia ingin mengukir kembali keseronokan yang pernah dikecapi oleh rakyat Malaysia bagai menikmati kembara budaya dan gaya hidup masyarakat setempat. Kerajaan sudah membina lebih 19,822 kilometer (status tahun 2015) rangkaian Jalan Persekutuan. Terbaiknya, Jalan Persekutuan ini percuma, dibina untuk memudahkan pergerakan rakyat dan menjadi JALAN UTAMA menghubungkan bandar, kota, pekan dan kampong di seluruh tanah air.

Program Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan, siri tiga melibatkan laluan Jalan Persekutuan di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Perjalanan kali ini membabitkan FT01, FT05, FT19, FT95, FT52 dan FT23 yang melibatkan laluan sepanjang 462 km. Jumlah keseluruhan ialah 1,353 km yang telah dilalui dalam Jelajah FTRoadpedia, Kementerian Kerja Raya. Turut menyertai program jelajah ini ialah pengamal media yang terdiri daripada media cetak dan elektronik. Sebanyak 15 agensi media telah dijemput untuk melihat dan merasai sendiri kesegaran dan pengalaman baru dalam menggunakan jalan persekutuan sebagai jalan utama menuju destinasi percutian.

Semasa jelajah ini juga rombongan FT dan para media di bawa melihat projek-projek pembangunan yang sedang rancak dijalankan seperti Lawatan Jambatan Parit Keliling Batu Pahat. Projek jambatan ini adalah projek menggantikan jambatan sedia ada. Pembangunan yang pesat di kawasan ini akan bertambah rancak dengan adanya jambatan yang lebih baik bagi menghubungkan kawasan sekitar. Secara tidak langsung, ia mampu menggalakkan pembangunan kawasan setempat dan memajukan masyarakat sekitarnya. Lawatan projek diteruskan lagi ke Projek Menaiktaraf Jalan Muar-Tangkak-Segamat, Johor (Fasa 1: Segamat-Tangkak) Pakej 3. Projek ini melibatkan pelebaran jalan daripada 2 lorong sedia ada dinaiktaraf kepada 4 lorong. Ia bertujuan menampung peningkatan jumlah kenderaan dan kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar.

Pada sebelah malam, Majlis Perasmian Penutup dan acara simbolik program penyerahan Travel Guide Zon Selatan oleh YBhg. Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YAB Menteri Besar Johor dan YB Menteri Kerja Raya serta penyerahan plak Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan oleh YB Menteri Kerja Raya kepada YAB Menteri Besar Johor. Menariknya, Travel Guide FTRoadpedia siri 3 ini adalah buku panduan yang lengkap untuk pengguna yang mahu bercuti, bersantai, berkursus mahu pun pulang ke kampong ketika musim perayaan. Diharapkan program seumpama ini dapat memberi persepsi positif di kalangan rakyat mengenai keprihatinan dan usaha kerajaan menyediakan infrastruktur yang berkualiti dan bertaraf tinggi untuk kemudahan rakyat khususnya jalan raya. Inisiatif berterusan ini diharap dapat membantu meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi setempat di sepanjang Jalan Persekutuan yang semakin dilupakan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita