Langkau ke kandungan utama
1

Lawatan Sulung Menteri Kerja Raya Dan Timbalan Menteri Kerja Raya Ke LLM Wilayah Timur Dan Anih BHD

Lawatan Sulung Menteri Kerja Raya Dan Timbalan Menteri Kerja Raya Ke LLM Wilayah Timur Dan Anih BHD

KUANTAN, 18 November 2018 – YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya buat julung kalinya mengadakan lawatan ke Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur dan konsesi kepada Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad.

Lawatan itu bertujuan untuk melihat dengan lebih dekat aspek operasi dan penyenggaraan yang dilaksanakan oleh LLM Wilayah Timur dan ANIH Berhad. Semasa sesi lawatan, delegasi telah diberikan taklimat ringkas oleh Dato’ Ir. Mohd Shuhaimi Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), LLM; dan Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein, Pengarah Eksekutif ANIH Berhad berkaitan pelaksanaan operasi dan penyenggaraan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa terjamin.

Taklimat oleh pihak LLM turut merangkumi antara lain kesan positif Lebuhraya KLK, LPT 1 dan LPT2 kepada rakyat di koridor Pantai Timur, tindakan yang diambil syarikat konsesi di dalam persediaan hal-hal luar jangka khususnya membabitkan bencana banjir serta mengurangkan isu kemalangan terutamanya melibatkan haiwan liar dan ternakan di LPT2 yang menjadi isu sensitif sebelum ini.

Kadar kemalangan yang melibatkan haiwan liar dan ternakan telah mencatatkan penurunan sebanyak 47.2% berbanding tahun sebelumnya hasil tindakan yang berterusan diambil oleh pihak konsesi didalam memastikan pagar sentiasa diselenggara dengan baik dan pembinaan perangkap serta halangan di lokasi yang kerap dimasuki haiwan liar dan ternakan ini.

Dalam tempoh 2014 hingga tahun ini, ANIH Berhad telah melabur hampir RM1 bilion untuk pengurusan termasuk menaiktaraf dan menyenggara Lebuhraya KLK dan LPT 1 khusus untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa terjamin.

Penyediaan 5 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta 7 hentian sebelah di sepanjang lebuh raya ini juga menyediakan platform kepada peniaga tempatan dan pengusaha kecil untuk mempromosikan jualan produk setempat serta menggalakkan mereka berniaga.

Tarikh Dan Waktu Acara