Langkau ke kandungan utama
1

Program Mega Toolbox 2018 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai

Program Mega Toolbox 2018 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai

WANGSA MAJU, 28 NOVEMBER 2018 - Persekitaran kerja yang sihat dan selamat memberi kesan positif kepada peningkatan produktiviti para pekerja dan organisasi serta seterusnya akan meningkatkan hasil dan ekonomi Negara.

Justeru, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah menggerakkan satu inisiatif dalam memupuk kesedaran akan pentingnya keselamatan dan kesihatan bagi kakitangan yang bekerja di tapak binaan melalui satu aktiviti yang di namakan Mega Toolbox kepada setiap konsesi.

Satu program Mega Toolbox 2018 dengan tema “Safety is Mandatory, Progress is Compulsory”, telah diadakan atas tujuan tersebut oleh Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn Bhd bertempat di Pejabat Tapak Seksyen 4, Lebuhraya Setiawangsa - Pantai (SPE), Wangsa Maju dan dirasmikan oleh YBhg. Dato' Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya.

Pada majlis tersebut turut diadakan acara Penyampaian Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Tapak Pembinaan kepada BAUER Sdn.Bhd (Emas), Juang Antara Bina Sdn Bhd (Perak) dan PC Geotechnic Sdn.Bhd (Gangsa).

Antara pengisian program ini adalah Toolbox Talk iaitu satu medium untuk mewujudkan komunikasi yang harmoni di antara majikan dan pekerja di samping membantu mengawal risiko yang mungkin wujud di tapak kerja.

Secara keseluruhan, program ini berkos rendah dan efektif dari aspek pelaksanaannya dalam usaha mengurangkan kemalangan yang selari dengan prinsip peraturan kendiri atau ‘self regulation’ yang menjadi teras Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994).

Tarikh Dan Waktu Acara