Langkau ke kandungan utama
1

Anugerah QLASSIC Meraikan Dan Mengiktiraf Penggiat Industri Cemerlang

Anugerah QLASSIC Meraikan Dan Mengiktiraf Penggiat Industri Cemerlang

KUALA LUMPUR, 21 MAC 2019 - QLASSIC Day 2019 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah diadakan bagi meraikan dan mengiktiraf penggiat industri yang telah mencapai prestasi yang memberansangkan di dalam penilaian kualiti QLASSIC.

QLASSIC adalah singkatan kepada Quality Assessment System for Building in Construction Works atau Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan dan mula diperkenalkan pada tahun 2007 sepertimana yang digariskan di dalam Construction Industry Standard C.I.S 7:2014.

Pada majlis ini projek pembinaan bangunan yang mencapai markah QLASSIC 80 dan keatas diiktiraf dan dianugerahkan pencapaian QLASSIC. CIDB telah memutuskan untuk menaikkan skor kelayakan penerima anugerah pencapaian QLASSIC kepada 83 peratus mulai tahun 2019.

Seramai 15 pemaju atau pemilik projek, 17 kontraktor dan 18 arkitek telah menerima pengiktirafan QLASSIC Achievement Award untuk 20 projek pembinaan bangunan yang dinilai pada tahun 2018. Penyampaian anugerah QLASSIC telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian.

Turut diadakan pada majlis ini adalah pemeteraian kerjasama di antara CIDB dan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di dalam perlaksanaan QLASSIC untuk projek-projek perumahan mampu milik.

Melalui kerjasama dengan CIDB ini, KPKT akan mewajibkan pemilikan sijil QLASSIC ke atas semua projek perumahan awam mahupun swasta, berkuatkuasa pada tahun 2020. Inisiatif ini merupakan salah satu daripada strategi yang telah digariskan di dalam pelan tindakan Dasar Perumahan Negara 2.0.

Acara tahunan yang yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur ini sejajar dengan aspirasi teras strategik Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 iaitu Kualiti, Keselamatan dan Profesionalisme.

Tarikh Dan Waktu Acara