Langkau ke kandungan utama
1

Lawatan Kerja KSU Ke Projek Lebuhraya SUKE

Lawatan Kerja KSU Ke Projek Lebuhraya SUKE

SELANGOR, 10 APRIL 2019 –Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia, Dato’ Dr Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan telah mengadakan lawatan kerja rasmi meninjau projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE). Projek Lebuhraya SUKE ini dibawah seliaan konsesi Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) dan bakal memberi manfaat kepada hampir 18,000 pengguna kenderaan setiap hari.

Lebuhraya ini bakal memendekkan jarak perjalanan dan juga dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas kritikal di Lembah Klang, terutama di Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) dan dijangka siap pada tahun 2020. Selain MRR2, Lebuhraya SUKE turut menghubungkan beberapa lebuh raya lain di antaranya Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Cheras-Kajang.

Pembinaan sambungan lebuh raya sepanjang 24.4 kilometer ini menelan belanja sebanyak RM5.2 billion dan ia mempunyai 14 persimpangan bermula di Sri Petaling dan berakhir di Bukit Antarabangsa. Jajaran Lebuhraya SUKE turut melibatkan laluan di Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, pekan Ampang, pusat beli-belah Ampang Point, Hulu Kelang dan Taman Hillview.

Sewaktu sesi lawatan tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia telah diberikan taklimat berkenaan kemajuan projek yang terkini dan seterusnya di bawa untuk meninjau dua lokasi tapak projek iaitu di Bukit Teratai dan Casting Yard Pakej CA4.

Tarikh Dan Waktu Acara