Langkau ke kandungan utama
1

Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara Dan Standard Perumahan Kebangsaan

Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara Dan Standard Perumahan Kebangsaan

SHAH ALAM, 11 MEI 2019 - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Construction Research Institute Malaysia (CREAM) telah bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) melancarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM).

Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin di Elmina Centrel Park yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Mohd. Anuar Mohd. Tahir, Menteri Besar Selangor, YAB Amirudin Shari dan Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Turut dilancarkan adalah Standard Perumahan Kebangsaan yang memberi fokus kepada konsep perumahan mampu milik yang mampan bagi mencapai matlamat dan visi Dasar Perumahan Negara (DRN) dalam menyediakan perumahan mampu milik yang selesa, inklusif, komprehensif dan berkualiti.

Standard Perumahan Kebangsaan atau ringkasnya CIS26 merupakan kemaskini daripada Standard Perumahan Kebangsaan yang telah diterbitkan pada tahun 1998 dan 2005. Pembaharuan ini diterbitkan selepas melalui proses-proses perbincangan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri pembinaan dari sektor Kerajaan mahupun swasta. Ini termasuklah wakil-wakil dari Kementerian, jabatan kerajaan, majlis negeri, pihak berkuasa tempatan, badan profesional, persatuan pembinaan dan juga ahli-ahli akademik.

Sejajar dengan dasar dan halatuju Kerajaan bagi membina 1 Juta Rumah Mampu Milik (RMM) antara 2018 sehingga 2028 seperti yang diumumkan oleh Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, transformasi ini disokong dengan penggunaan teknologi dan kaedah-kaedah baharu seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), Building Information Modelling (BIM) dan Big Data. Penggunaan teknologi dan kaedah baharu ini akan meningkatkan lagi kebolehan syarikat-syarikat tempatan untuk membina dan menyediakan perumahan yang berkualiti secara tepat dan cepat.

Tarikh Dan Waktu Acara