Langkau ke kandungan utama
1

Anih Berhad Teruskan Tradisi Berkongsi Barakah Ramadhan

Anih Berhad Teruskan Tradisi Berkongsi Barakah Ramadhan

TEMERLOH, 24 MEI 2019 – ANIH Berhad meneruskan tradisi tahunannya untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadhan menerusi edaran pek buah kurma dan juadah Iftar secara percuma sebagai tanda penghargaan kepada pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1).

Edaran pek buah kurma yang bermula pada hari Jumaat, 17 Mei sehingga akhir bulan Ramadhan ini dilaksanakan di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak menjelang waktu berbuka puasa. Edaran juadah Iftar yang mengandungi set lauk, nasi, air mineral dan kurma pula dibuat menerusi kaunter pandu-lalu khas bermula dari jam 5.30 petang hingga 7.30 petang di tiga Kawasan Rehat & Rawat (R&R) terpilih mengikut tarikh iaitu R&R Gambang (hala timur) pada 17 Mei, R&R Temerloh (hala timur) pada 24 Mei dan R&R Genting Sempah pada 31 Mei 2019.

Sementara itu, turut diadakan pada hari ini ialah Majlis Program Berkongsi Barakah Ramadhan #LPTdihati yang diadakan di Kawasan Rehat & Rawat Temerloh hala timur. Majlis ini dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Temerloh, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir dan Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein.

Pada majlis itu seramai 65 orang pelajar dari Rumah Ngaji Barokah; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman; dan Pertubuhan Anak-Anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah dari Kawasan Parlimen Temerloh turut telah menerima sumbangan sepasang baju raya dan duit raya daripada ANIH Berhad. Selain itu, ANIH Berhad juga turut memberi sumbangan RM1,000 untuk juadah Moreh 10 surau dan masjid di sepanjang jajaran KLK dan LPT 1.

Bagi memudahkan perjalanan sempena Aidilfitri ini, para pengguna disarankan untuk merujuk Twitter rasmi iaitu @LPTTrafik atau Facebook di Lebuhraya Pantai Timur untuk mengemaskini maklumat trafik atau insiden di lebuh raya. ANIH Berhad turut menawarkan diskaun kepada pengguna. selain mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu mengurangkan kesesakan melampau pada waktu puncak dan melancarkan lagi perjalanan pengguna.

Tarikh Dan Waktu Acara