Langkau ke kandungan utama
1

Lebuh Raya Bertingkat Bayan Lepas dibuka kepada umum

GEORGE TOWN, 6 April 2016 – Kerja pembinaan struktur bertingkat Lebuh raya Bayan Lepas (BLE) kini telah selesai dan ia sedia untuk dibuka kepada umum bermula hari ini (6 April) selepas 2 petang.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof telah hadir di tapak BLE untuk meninjau kemajuan projek bernilai RM337 juta ini, dan seterusnya beliau telah sudi melakukan pelepasan trafik sebagai menandakan lebuh raya tersebut telah sedia digunakan.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Adanan Bin Mohamed Hussain, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (Dasar dan Pembangunan) Dato’ Abdul Razak Bin Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato’ Ir Dr. Roslan Bin Md Taha dan Mohd Razin Ghazali, Pengarah Urusan UEM Builders Berhad (UEM Builders).

Pembukaan struktur bertingkat sepanjang 3.2 kilometer (km) ini adalah mengikut jadual dan ianya merupakan sebahagian daripada inisiatif penguraian trafik dan membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di antara Batu Maung dan Sungai Nibong (Queensbay).

Pembinaan fizikal untuk keseluruhan BLE kini 99 peratus siap. Keseluruhan projek ini yang bermula pada April 2014, dijangka akan siap sepenuhnya pada Jun 2016. Pada masa kini sehingga Jun 2016, beberapa kerja kecil pembinaan seperti pembinaan jejambat basikal dan kerja-kerja landskap akan dilaksanakan di kawasan pantai.

Lebuh raya ini direka bentuk untuk menampung jumlah trafik sebanyak 70,000 purata kenderaan harian (Average Daily Traffic, ADT) pada tahap perkhidmatan atau level of service (LOS) A di laluan bertingkat, dan LOS C di laluan At-grade (laluan searas). Kapasiti maksima lebuh raya ini dijangka mencecah jumlah maksima trafik pada 2030 dengan LOS C pada laluan bertingkat dan LOS E di laluan At-Grade.

Projek BLE ini yang dilaksanakan oleh UEM Builders sebagai kontraktor utama, terbahagi kepada dua komponen. Komponen pertama adalah Struktur Bertingkat yang berukuran 3.2km panjang, iaitu sebuah lebuh raya 4 lorong berkembar. Struktur binaannya menggunakan “standard span” dan “special span” berukuran 3,161 meter dan 390 meter panjang.

Komponen kedua adalah At-Grade sepanjang 4.2km yang merupakan kerja menaik taraf laluan asal kepada lebuh raya 4 lorong berkembar. Sepanjang laluan ini terdapat tiga persimpangan iaitu Hilir Sg. Kluang 1, Lebuhraya Kg. Jawa dan persimpangan Jalan Kg. Jawa.

Keseluruhan lebuh raya ini dilengkapi dengan lampu jalan LED, sistem saliran, laluan basikal, jejambat basikal dan pembahagi jalan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita