Langkau ke kandungan utama
1

Aku Janji 78 Jurutera Daerah JKR ke arah mencapai sasaran Sifar Pothole

KUALA LUMPUR, 17 Februari 2016 : Seramai 78 Jurutera Daerah (JD) Jabatan Kerja Raya (JKR) telah sebulat suara bersetuju memberi komitmen ke atas pencapaian Sifar Pothole jalan raya di Malaysia. Bagi merealisasikan komitmen ini, satu Aku Janji telah disediakan dan diserahkan kepada YB Menteri Kerja Raya dalam satu majlis ringkas sejurus selepas Mesyuarat POSKAB di Kompleks KKR2.

Timbalan Pengerusi Jurutera Daerah, Ir. Haji Mohd Isa bin Sulaiman telah mewakili kesemua 78 JD menyerahkan Aku Janji tersebut kepada YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya sambil disaksikan oleh YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya dan YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha KKR.

Terdahulu, Para JD JKR telah membuat semakan tentang pothole di Jalan-jalan Persekutuan dan Negeri yang terdapat sejak Januari 2016 sehinggalah 6 Februari 2016. Sebanyak 1268 pothole di Jalan-jalan Persekutuan dan 1044 pothole di Jalan-jalan Negeri telah ditemui dan diambil tindakan segera dalam tempoh 24 jam dengan menampal lubang-lubang tersebut dengan cold mix sejajar dengan KPI KKR.

Dari segi peratusan, sebanyak 55% penemuan pothole datang daripada Jalan Persekutuan manakala 45% datang daripada Jalan Negeri. Oleh itu, satu dokumen telah disediakan sebagai rekod dan ini akan dijadikan format pemantauan dan audit sifar pothole oleh kesemua JD.

Serentak dengan itu juga, kempen #zeropothole telah dilancarkan di semua medium rasmi media social KKR dengan bantuan semua admin media social agensi dan JKR negeri. Adalah menjadi harapan agar sasaran Sifar Pothole ini tercapai mulai tahun 2016 dan tahun-tahun seterusnya demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita