Langkau ke kandungan utama
1

Pelancaran Projek Pan Borneo Sarawak bagi Jajaran Bulatan Serian – Simpang Pantu

SERIAN – 13 Mac 2016 :- Kerajaan Persekutuan terus membuktikan komitmen dalam meningkatkan jaringan infrastruktur di Sabah dan Sarawak apabila membiayai projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB).  Terkini, kerja Pembinaan Pakej ketiga LPB, iaitu Jajaran Bulatan Serian – Simpang Pantu, Sarawak sepanjang 75 kilometer (km) telah dirasmikan permulaan kerjanya oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Projek ini merupakan sebahagian daripada pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 1,089 km melalui model Project Delivery Partner (PDP) dan melibatkan naiktaraf jalan sedia ada dari dua lorong dua hala (single carriageway) kepada empat lorong dua hala (dual carriageway) termasuklah pembinaan 3 persimpangan bertingkat iaitu di Serian dan Simunjan, 10 jambatan, 1 kawasan hentian yang terletak di Balai Ringin, Serian, 84 hentian bas, 8 jejantas dan 39 pusingan-P. Pembinaan pakej ini bermula pada Mac 2016 dan dijangka siap pada suku kedua 2020, mengambil masa selama 51 bulan.

Penglibatan masyarakat tempatan Sarawak terutamanya masyarakat Bumiputera sangat digalakkan dalam pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo ini. Sejak dilancarkan tahun lepas, sebanyak 75 syarikat konsultan Sarawak telah terlibat dengan projek ini. Selain itu, Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. (LBU) yang dimiliki oleh warga Sarawak secara majoriti telah dilantik bagi menguruskan, melaksanakan proses tender bagi pakej-pakej dalam projek ini dan bertanggungjawab memastikan projek lebuhraya ini disiapkan pada spesifikasi ditetapkan pada kos dan masa yang dipersetujui.

Kerajaan baru-baru ini telah bersetuju dan memuktamadkan rundingan bagi pembinaan Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 1,236 km. Apabila siap kelak, keseluruhan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak sepanjang 2,325 km ini akan menjadi tulang belakang perhubungan dari Sarawak hinggalah ke Sabah. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita