Langkau ke kandungan utama
1

Perasmian Persimpangan Bertingkat Kajang Utama Lebuhraya SILK

KAJANG, 10 Mac 2016 : Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengadakan Majlis Perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Kajang Utama hari ini yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya. Persimpangan Bertingkat Kajang Utama ini merupakan inisiatif pihak kerajaan untuk memudahkan perjalanan penduduk sekitar kawasan tersebut yang rata-ratanya merupakan pengguna Lebuhraya SILK.

Melalui peruntukan RMK10 yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan, kos projek sebanyak RM22.4 juta yang merangkumi kos pembinaan dan perundingan telah dibelanjakan bagi perlaksanaan projek ini. Pembinaan projek yang dipantau oleh LLM ini telah dimulakan pada awal 2014 dengan mengambil masa tempoh pembinaan selama 24 bulan dan telah siap pada akhir Januari 2016.

Pada masa kini, penduduk di sekitar Taman Kajang Utama terpaksa melalui Persimpangan Jalan Reko, Lebuhraya SILK untuk ke Bandar Kajang atau ke arah Semenyih / Sg. Long. Manakala perjalanan dari Bandar Kajang ke Taman Kajang Utama perlu melalui pusingan-u di Leburaya SILK. Penduduk terpaksa melalui perjalanan yang lebih jauh dan berhadapan dengan kesesakan di sekitar Persimpangan Jalan Reko pada setiap hari terutamanya pada waktu puncak iaitu pagi dan petang.

Dengan adanya jalan sambungan ini, ia dijangka akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Persimpangan Jalan Reko dan dapat menyuraikan kepadatan trafik sedia ada. Dalam keadaan trafik yang lancar, tempoh masa perjalanan untuk ke Kajang Utama dari arah Kajang dan Putrajaya dapat dijimatkan sehingga 5 minit dengan pengurangan jarak perjalanan sebanyak 4 kilometer (km). Manakala bagi perjalanan dari Kajang Utama menghala ke arah Semenyih dan Sungai Long tempoh perjalanan dapat dijimatkan sehingga 8 minit dengan jarak perjalanan 4 km lebih pendek.

Pembukaan persimpangan ini secara tidak langsung dapat memberi banyak manfaat kepada hampir 25,000 pengguna lebuhraya di kawasan sekitar. Antara penduduk sekitar yang bakal mendapat manfaat daripada persimpangan ini adalah penduduk di Taman Kajang Sentral, Taman Kajang Utama, dan Taman Seri Mewah serta kawasan pembangunan baru iaitu Bandar Kajang 2.

Persimpangan ini mula dibuka kepada lalu lintas bermula jam 10 malam pada 10 Mac 2016. Dengan pembukaan persimpangan ini, adalah diharapkan penduduk sekitar dapat menggunakan kemudahan yang telah disediakan ini dengan baik dan perjalanan trafik semakin lancar.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita