Langkau ke kandungan utama
1

Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX)

SERI KEMBANGAN, 8 Disember 2015 – YB. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengadakan lawatan kerja bagi meninjau persiapan akhir pembukaan Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Projek yang dimulakan pada 2 Disember 2013 ini akan menyediakan akses terus dari kawasan Seri Kembangan, Serdang dan Puchong untuk memasuki Lebuhraya MEX bagi mengatasi kesesakan trafik yang kritikal terutamanya pada waktu puncak. Dengan pembukaan persimpangan bertingkat ini, ianya dapat memberi pilihan kepada pengguna terutamanya di Jalan Putra Permai (FT3215) serta kawasan sekitar Seri Kembangan terutamanya di Taman Universiti Indah, Taman Puncak Jalil dan Taman Equine seterusnya perjalanan ke Kuala Lumpur pada waktu puncak dapat disingkatkan dari 1 jam kepada 20 minit.

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi dengan kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM112 juta dijangka dapat dibuka kepada pengguna selepas beberapa pemeriksaan akhir oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurut YB. Menteri juga, laluan persimpangan ini akan dibuka secara rasmi pada 13 Disember 2015 dan laluan ini tidak akan dikenakan tol sepanjang tempoh satu bulan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita