Langkau ke kandungan utama
1

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat KKR 2015

KUALA LUMPUR, 1 Disember 2015 - Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kementerian Kerja Raya 2015 telah diadakan bertempat di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid sebagai mencerminkan iltizam KKR untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Majlis yang dianjurkan pihak Kementerian dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya diikuti ceramah oleh Tokoh Bahasa, Puan Ratna Inzab Mohd Asri. Tahun 2015 merupakan tahun kedua KKR terlibat dalam pelaksanaan Bahasa Kebangsaan.

KKR diletakkan di bawah Sektor Kerja Raya, Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 30 November 2010 dan berperanan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelaksanaan dan pengurusan projek dan tadbir urus kementerian. Berbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang tahun 2015 yang melibatkan kursus-kursus di KKR serta pelaksanaan program “Eksplorasi Bahasa Budaya Bangsa” yang melibatkan seramai 40 orang yang terdiri daripada warga KKR dan JKR pada 16 dan 17 Oktober 2015. Jabatan Kerja Raya (JKR) pula telah melaksanakan Bengkel Apresiasi Puisi bersama dengan Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin yang telah berlangsung pada 10 dan 11 September 2015. Manakala Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula telah menganjurkan program memartabatkan Bahasa Kebangsaan peringkat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 16 Oktober 2015 dengan aktiviti seperti pertandingan pantun, sajak, pidato dan lagu puisi.

Tarikh Dan Waktu Acara