Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 November 2015 - Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia Gabungan Wilayah Tengah, Timur, Utara dan Selatan Tahun 2015 telah diadakan penuh gemilang di Pusat Dagangan Dunia Putra bagi meraikan 309 orang graduan. Mereka menerima Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) masing-masing dalam 11 bidang kemahiran dan merupakan graduan daripada Program Belia, Personel dan Customised. Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya yang turut menyampaikan ucaptama perasmian majlis yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dikenalpasti sebagai salah satu teras utama dalam Rancangan Malaysia Ke–11 (RMK–11) dalam usaha negara mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP). Justeru, usaha Kementerian ini melahirkan tenaga mahir pembinaan ini melalui Akademi Binaan Malaysia selaras dengan dasar Kerajaan iaitu menghasilkan para graduan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

Untuk memastikan graduan ABM kekal relevan di dalam industri pembinaan, silibus atau kaedah latihan telah ditambah baik dengan mekanisma baru latihan melalui penggunaan teknologi simulator dalam bidang kimpalan atau welding dan pemanduan jentera berat atau plant operation. Selain itu, beberapa kursus terbaru turut diwujudkan bagi memenuhi kehendak pasaran seperti Program Habitat Technician dan Mechanical Fitter yang berkaitan dengan industri petroleum dan gas manakala program Solar Panel Installation untuk meningkatkan kecekapan penyedia perkhidmatan solar PV tempatan.

Kesemua standard program ini dibangunkan dengan kerjasama pihak industri seperti PETRONAS, INSTEP dan SEDA bagi memastikan ia menepati keperluan dan kehendak industri berkenaan. Akademi Binaan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1997 memainkan peranan penting di dalam mengeluarkan pekerja mahir tempatan untuk berkhidmat dalam sektor pembinaan negara. Sejak daripada awal penubuhannya sehingga kini, jumlah pelatih yang telah dilahirkan oleh ABM mencapai 270,011 orang daripada Program Belia dan Personel.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita