Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Menandatangani Perjanjian Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak

PUTRAJAYA, 30 Jun 2015 – Satu Majlis Menandatangani Perjanjian Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah diadakan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Upacara menandatangani perjanjian ini telah disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak.  Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Terdahulu dalam ucapan Bajet pada 10 Oktober 2014 yang lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan projek lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer yang disasarkan akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak.

Komponen kick-off projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang melibatkan jajaran Simpang Jalan Nyabau ke Simpang Jalan Bakun sepanjang 43 kilometer telah dilancarkan oleh Perdana Menteri sendiri pada 31 Mac 2015. Komponen ini merupakan sebahagian daripada 1,090 kilometer jajaran Pan Borneo Sarawak yang akan dinaiktaraf kepada empat lorong dua hala (dual carriageway) dengan standard piawaian R5. Kerja-kerja menaiktaraf komponen tersebut kini sedang giat dijalankan.

Melalui Perjanjian ini, projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kelak bakal menjadi jalan penghubung strategik serta memberi keselesaan perjalanan dan selamat kepada pengguna jalan raya di Sarawak selain memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi setempat, malah ia berupaya menggalakkan lagi pembangunan ekonomi di wilayah koridor Sarawak (SCORE). 

Disamping itu, projek ini dijangka akan memberi kesan langsung kepada kepada penduduk negeri Sarawak melalui peluang-peluang dalam sektor pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan baru dan bertindak sebagai pemangkin kepada pusat-pusat pertumbuhan baru ekonomi.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita