Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Aspirasi 2020 Bersama Pelaksana Kontrak Penyenggaraan Kementerian Kerja Raya.

Majlis Aspirasi 2020 Bersama Pelaksana Kontrak Penyenggaraan Kementerian Kerja Raya.

KUALA LUMPUR, 4 FEBRUARI 2020 – Kementerian Kerja Raya memandang serius terhadap kualiti Penyenggaraan Insfrastruktur Jalan, Lebuh Raya dan Bangunan selaras dengan Teras Strategik Kementerian dengan menganjurkan Majlis Aspirasi 2020 bersama Pelaksana Kontrak Penyenggaraan lantikan Kementerian Kerja Raya.

Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Tuan Baru Bian menegaskan dalam aspirasi beliau kepada wakil-wakil konsesi serta syarikat yang hadir pada hari ini, bahawa beliau inginkan syarikat-syarikat yang telah diamanahkan agar melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan mengikut spesifikasi yang ditetapkan seperti yang terkandung pada kontrak. Dalam ucapan beliau juga, beliau turut menekankan agar kerja-kerja selenggaraan dapat dilaksanakan dengan mengaplikasikan teknologi terkini selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

Aset jalan dan bangunan di negara ini perlu disenggara dengan cekap dan berkesan supaya dapat digunakan secara optimum. Pada tahun ini, KKR telah menerima peruntukan sebanyak RM1.08 billion untuk kerja-kerja penyenggaraan di bawah program khusus seliaan KKR yang terdiri daripada penyenggaraan Jalan Persekutuan, Bayaran Bil Lampu Jalan, Pembaikan Jambatan, Kerja Berkala Pavemen di Jalan Persekutuan, Bangunan Gunasama Persekutuan, Kuarters, Cerun di Jalan Persekutuan dan kontrak penyenggaraan kuarters serta fasiliti kompleks KKR.

Majlis yang berlangsung di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya ini dihadiri wakil daripada 17 syarikat konsesi bagi kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan, penyenggaraan bangunan gunasama persekutuan, penyenggaraan cerun Semenanjung Malaysia dan penyenggaraan fasiliti Kompleks Kerja Raya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita