MAJLIS PENYERAHAN SURAT SETUJU TERIMA DAN PECAH TANAH PROJEK PEMBINAAN BAHARU SMK BUKIT GORAM, KAPIT, SARAWAK | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

MAJLIS PENYERAHAN SURAT SETUJU TERIMA DAN PECAH TANAH PROJEK PEMBINAAN BAHARU SMK BUKIT GORAM, KAPIT, SARAWAK

Submitted by wmukk on 24 November 2026

KAPIT, SARAWAK - Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah Projek Pembinaan Baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goram di tapak projek pada 20 November 2026. Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Kerja Raya serta pegawai kanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan pentadbiran tempatan. 

Projek bernilai sekitar RM96.8 juta ini dilaksanakan secara reka dan bina oleh Bangkit Energy & Pro Logistic (EM) Sdn. Bhd. dan dijangka siap pada 16 Mei 2030. Skopnya merangkumi 36 bilik darjah, bangunan khas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Menengah serta kemudahan sokongan untuk 1,080 murid aliran perdana dan 35 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK). Kemudahan ini disediakan mengikut piawaian yang ditetapkan bagi menyokong Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) berteraskan Pendidikan Abad Ke-21 (PAK-21).

Tapak seluas 7.189 hektar ini terletak di Lot 770, Blok 13, Daerah Tanah Menuan, sekitar 3 kilometer dari Pekan Kapit. Lokasinya berhampiran Skim Penempatan Semula (SPS) Kampung Kemarau dan kira-kira 500 meter dari persimpangan Jalan Ulu Sungai Kapit. 

Sekolah ini dibina bagi menampung peningkatan enrolmen dan mengurangkan kepadatan murid di sekolah berhampiran susulan pertambahan penduduk. Pertambahan ini turut dipengaruhi penghijrahan penduduk luar bandar seiring pembangunan jaringan jalan darat, keperluan kemudahan awam dan pendidikan serta peluang sosioekonomi. Lokasi sekolah yang strategik akan memudahkan akses pendidikan, meringankan beban kos dan pengangkutan ibu bapa serta mengurangkan kebergantungan pada perjalanan jauh dan pengangkutan air yang berkos tinggi. 

Penyediaan PPKI Menengah pula membolehkan MBPK meneruskan pengajian di Kapit, sekali gus mengurangkan risiko keciciran atau keperluan berpindah ke bandar besar seperti Sibu. Secara keseluruhan, sekolah ini menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif, melengkapkan kemudahan awam serta menyokong pembangunan, daya tarikan dan kesejahteraan komuniti setempat. 

Projek hasil kerjasama KKR melalui JKR Malaysia dengan KPM ini turut menyokong keperluan sistem pendidikan negara. Pelaksanaannya menekankan sasaran Zero Sick Projects bagi mengelakkan kelewatan serius dan Ahead of Time (AOT) bagi menggalakkan penyiapan lebih awal, di samping mengoptimumkan sumber supaya manfaat projek dinikmati mengikut perancangan. 

KKR mengucapkan tahniah kepada kontraktor yang dilantik dan berharap projek dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan komitmen serta mematuhi spesifikasi, syarat kontrak dan piawaian kualiti serta keselamatan. Pegawai Penguasa perlu memantau kemajuan secara proaktif dan menyelesaikan isu yang boleh menjejaskan pelaksanaan. KKR melalui JKR Malaysia turut memantau kualiti kerja dan menilai prestasi kontraktor secara berkala bagi memastikan keperluan KPM dipenuhi. 

Pembinaan SMK Bukit Goram menyokong usaha Kerajaan MADANI memperluas akses pendidikan berkualiti. KKR akan terus memastikan pembangunan infrastruktur menyumbang kepada pembangunan negara dan memberikan manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5