KKR PERKUKUH PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DAN PEMANTAUAN PROJEK SAKIT | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KKR PERKUKUH PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR DAN PEMANTAUAN PROJEK SAKIT

Submitted by wmukk on 12 November 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited memperkasa pembangunan infrastruktur jalan raya serta memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual, kos dan spesifikasi yang ditetapkan.

Perkara itu dijelaskan oleh YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, YB Tuan Cha Kee Chin dan Ahli Parlimen Maran, YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib di Kamar Khas, Dewan Rakyat hari ini.

Bagi Parlimen Rasah, Projek Jalan Baharu Nilai-Labu-Enstek bernilai RM226 juta kini mencapai kemajuan fizikal 77.87 peratus dan dijangka siap selewat-lewatnya Mac 2027. Sementara itu, Projek Menaik Taraf Jalan FT362 termasuk pembinaan jejambat mencatatkan kemajuan 7.62 peratus, selaras dengan jadual dan dijadualkan siap pada 17 Mei 2029.

Kerajaan turut meluluskan RM6 juta bagi kerja-kerja awalan pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Bandar Baru Enstek ke Jalan Pekeliling KLIA (FT027), meliputi penyediaan reka bentuk dan kajian teknikal sebelum pelaksanaan fizikal dipertimbangkan.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak empat daripada 99 projek di bawah seliaan JKR di Negeri Pahang dikenal pasti berstatus sakit, melibatkan nilai kontrak RM37.1 juta. Bagaimanapun, tiada projek sakit dilaporkan di Daerah Maran daripada lima projek bernilai RM122.3 juta yang sedang dalam pembinaan.

KKR melalui JKR akan terus mempergiat pemantauan, melaksanakan intervensi dan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal memulihkan prestasi projek, termasuk mempertimbangkan penamatan kontrak demi melindungi kepentingan Kerajaan.

KKR kekal komited memastikan projek pembangunan infrastruktur disiapkan dengan berkualiti, selamat dan memberi manfaat kepada rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3