KKR PERKUKUH PERANCANGAN CORE BUSINESS MENERUSI MESYUARAT HALATUJU STRATEGIK BERSAMA AGENSI 2027 | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KKR PERKUKUH PERANCANGAN CORE BUSINESS MENERUSI MESYUARAT HALATUJU STRATEGIK BERSAMA AGENSI 2027

Submitted by wmukk on 2 November 2026

GENTING HIGHLANDS – Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan penganjuran Mesyuarat Halatuju Strategik KKR Bersama Agensi 2027 menerusi sesi pembentangan intensif bertempat di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, di sini hari ini.

Sesi mesyuarat berkenaan memfokuskan kepada perancangan strategik bahagian teras (core business) kementerian serta agensi-agensi di bawah naungannya, merangkumi Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), serta badan-badan profesional iaitu Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (BQSM), dan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).

Pembentangan teras tersebut memberi tumpuan khusus kepada pelan tindakan operasi infrastruktur, kawal selia industri, serta integrasi amalan profesional bagi memacu kecekapan penyampaian projek awam dan rangkaian lebuh raya negara. Penyelarasan ini krusial bagi memastikan dasar strategik diterjemahkan secara efektif di tapak bina, mengelakkan pertindihan fungsi, serta memperkukuh tadbir urus dan kualiti pembinaan menjelang tahun 2027.

Sesi pembentangan ini turut diperkukuh dengan kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad bin Maslan, yang menyertai serta meneliti intipati pembentangan pada sebelah tengah hari. Kehadiran beliau memberikan dorongan motivasi serta membolehkan maklum balas terus disalurkan terhadap inisiatif dan pelan tindakan kritikal kementerian.

Hasil dapatan dan input daripada sesi pembentangan ini bakal menjadi teras utama dalam memuktamadkan Halatuju KKR 2027 demi memastikan ekosistem pembinaan dan penyampaian infrastruktur negara kekal berdaya saing, tangkas, dan mampan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5