KKR TINJAU PROJEK NAIK TARAF JAJARAN REDLINE LPB SARAWAK SEPANJANG 17.1 KILOMETER | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KKR TINJAU PROJEK NAIK TARAF JAJARAN REDLINE LPB SARAWAK SEPANJANG 17.1 KILOMETER

BINTULU – Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan komitmen memperkukuh keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya menerusi Sesi Lawatan Turun Padang ke Projek Menaik Taraf Jajaran Redline (Sektor Short Stretch) Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, di sini hari ini.

Tinjauan mesyuarat dan tapak di lokasi Jajaran Redline Kemena tersebut telah dipimpin oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Infrastruktur) Sarawak; Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim; serta Pengarah JKR Sarawak, YBhg. Datu Dr. Cassidy anak Morris.

Projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf struktur turapan jalan sedia ada sepanjang 17.1 kilometer di sembilan (9) lokasi strategik iaitu Lachau, Selangau, Balingian, Kemena, Sebiew, dan Tudan. Langkah ini bertujuan menaik taraf struktur jalan sedia ada yang majoritinya bertaraf substandard (Piawaian JKR R5) kepada spesifikasi piawaian lebuh raya yang lebih selamat dan berkualiti.

Pelaksanaan projek kini rasmi bermula susulan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor utama, DAL-HCM Sdn. Bhd., pada 18 Ogos 2026 dan penyerahan milik tapak pada 17 September 2026. Projek ini diperuntukkan tempoh pelaksanaan selama 16 bulan dengan sasaran siap sepenuhnya pada awal tahun 2028.

KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kekal komited memantau rapi kemajuan di tapak mengikut teras KKR Delivery Culture demi memastikan pematuhan aspek kualiti, keselamatan, dan jadual pelaksanaan dapat diterjemahkan secara optimum kepada kemudahan rakyat Sarawak.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4