KKR PERKUKUH AGENDA PENDIGITALAN INDUSTRI PEMBINAAN MELALUI PENANDA ARAS BERSAMA GAMUDA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KKR PERKUKUH AGENDA PENDIGITALAN INDUSTRI PEMBINAAN MELALUI PENANDA ARAS BERSAMA GAMUDA

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim telah mengetuai delegasi KKR, CIDB, LLM, Lembaga-lembaga Profesional serta wakil Centre of Excellence (COE) UMPSA dalam lawatan penanda aras ke Gamuda Berhad.

Lawatan yang bermula pada jam 9.00 pagi ini memberi fokus kepada perkongsian amalan terbaik dalam inovasi, pendigitalan dan penerapan teknologi dalam industri pembinaan.

Antara pengisian utama ialah pembentangan Gamuda Technologies berkaitan budaya inovasi dan pendekatan pembinaan digital, diikuti perkongsian hasil Program Penempatan Khas Teknikal (PPKT) JKR-Gamuda yang melibatkan 15 pegawai JKR daripada lima disiplin berbeza.

Delegasi turut diperkenalkan kepada Gamuda AI Academy (GAIA) yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran Kecerdasan Buatan (AI), selain mendapat perkongsian pengalaman Gamuda melaksanakan projek di Australia.

Lawatan diteruskan ke Pameran Fasiliti Digital dan Hab Inovasi Gamuda yang menampilkan demonstrasi aplikasi digital dibangunkan Gamuda, antaranya BIMAR, Trudax, SpatialQ, Model Checker dan Tunnel Tech.

Secara keseluruhannya, lawatan ini membuka ruang kepada KKR dan rakan strategik untuk melihat dengan lebih dekat amalan terbaik pendigitalan yang sedang diterapkan oleh industri.

Kerjasama erat antara Kerajaan dan industri swasta seperti ini diharap dapat terus diperkukuh bagi mempercepat transformasi digital serta memacu industri pembinaan negara ke tahap yang lebih inovatif, cekap dan berdaya saing.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4