KKR PERKUKUH PENGURUSAN DATA KEMALANGAN JALAN RAYA MELALUI RAMS, PERKASA KESELAMATAN INFRASTRUKTUR
KUCHING - Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Kursus Peluasan Road Accident Management System (RAMS) Tahun 2026, yang merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan World Health Organization (WHO).
Kursus ini menghimpunkan pegawai teknikal daripada KKR, Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta WHO bagi memperkukuh kapasiti dan kompetensi dalam pengurusan data kemalangan jalan raya secara lebih sistematik, bersepadu dan berasaskan bukti.
Road Accident Management System (RAMS) merupakan sistem yang dibangunkan KKR bagi mengurus, menganalisis dan memaparkan data kemalangan jalan raya, selain mengenal pasti lokasi kerap berlaku kemalangan atau blackspot melalui integrasi data kemalangan daripada Integrated Police Reporting System (i-PRS) di bawah seliaan PDRM.
Pengintegrasian RAMS dengan aplikasi myJalan turut membolehkan pengurusan aset jalan dilaksanakan dengan lebih cekap melalui perkongsian data secara bersepadu, sekali gus meningkatkan keberkesanan pemantauan, penyelenggaraan serta penyampaian maklumat kepada pengguna jalan raya.
Dalam ucapan perasmian penutupan, YB Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa penggunaan data yang tepat dan berkualiti merupakan asas penting dalam merancang serta melaksanakan infrastruktur jalan raya yang lebih selamat.
Melalui RAMS, KKR dapat mengenal pasti lokasi blackspot berdasarkan kriteria tiga kemalangan daripada jenis yang sama atau lima kemalangan daripada pelbagai jenis dalam tempoh tiga tahun, dalam lingkungan radius 50 meter atau sepanjang 100 meter jalan. Lokasi yang dikenal pasti akan diberikan rawatan keselamatan melalui peruntukan di bawah Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya.
Bagi tahun 2026, sebanyak RM80 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program keselamatan jalan raya di Jalan Persekutuan, melibatkan rawatan di 99 lokasi kerap berlaku kemalangan, pemasangan 334 lampu jalan baharu di kawasan kemalangan atau berisiko kemalangan akibat keadaan jalan yang gelap, pemasangan 14 lampu isyarat di persimpangan yang dikenal pasti berisiko kemalangan serta pembinaan 19 Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI).
Kerjasama strategik antara KKR dan WHO turut meliputi pembinaan LPKSI melalui penambahbaikan reka bentuk piawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan penerapan elemen reka bentuk antarabangsa serta penilaian keberkesanan program secara berterusan.
Selain itu, kerjasama ini merangkumi pemerkasaan pengurusan data kemalangan melalui RAMS bersama PDRM, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JKR serta agensi berkaitan, di samping pelaksanaan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.
KKR kekal komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama WHO, PDRM, KPKT dan agensi berkaitan dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di seluruh negara.
Usaha bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan penyediaan infrastruktur jalan raya yang lebih berkualiti, selamat dan mampan, di samping memperkukuh pengurusan keselamatan jalan raya berasaskan data demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
- Log in to post comments