PEMBINAAN KUARTERS PERSEKUTUAN DI SABAH DEMI KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM
KUALA LUMPUR - YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Cadangan Meroboh dan Membina Semula Kuarters Flat Persekutuan KM4, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu Sabah
Dalam ucapan beliau, projek ini merupakan satu inisiatif Kerajaan Madani untuk menyediakan infrastruktur yang selamat, selesa dan kondusif kepada penjawat awam terutamanya di Sabah.
Projek ini akan dilaksanakan melalui kaedah Reka dan Bina dengan kos sebanyak RM159.79 juta dan dianugerahkan kepada Bangkit Energy & Pro Logistic (EM) Sdn. Bhd. Pelaksanaan serta pemantauan projek ini dipertanggungjawabkan kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya Malaysia.
Projek ini melibatkan pembinaan sebanyak 216 unit kuarters yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang parkir dan fasiliti sokongan yang lain, bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih kondusif.
Majlis ini turut menyaksikan penyerahan Surat Lantikan Pengarah Projek kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia sebagai langkah memperkukuh tadbir urus projek agar pengurusan, pemantauan dan pengauditan dilaksanakan secara sistematik serta berintegriti dari awal hingga penyerahan siap.
Kerajaan melalui KKR akan terus memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan secara profesional dan telus demi kesejahteraan rakyat. Usaha ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan mampan, berimpak tinggi dan berteraskan kebajikan rakyat.
- Log in to post comments