SESI DIALOG KONTRAKTOR G1 BERSAMA TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

SESI DIALOG KONTRAKTOR G1 BERSAMA TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA

KUALA LUMPUR -  Pagi tadi  YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Maslan mempengerusikan Sesi Dialog Bersama Kontraktor G1 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Turut bersama dalam sesi dialog tersebut ialah YBrs. Sr. Ahmad Farrin Mokthar, Pengurus Kanan CIDB Malaysia serta wakil-wakil daripada PERKOBF, PKMM, PKBM, PKMBM, DPMM dan Alumni ACE.

Dianjurkan CIDB dengan tema  “Dari G1 ke Gred Lebih Tinggi – Memperkasa Kapasiti dan Daya Saing Kontraktor Bumiputera”, sesi ini menjadi platform kontraktor menyuarakan cabaran semasa seperti kekangan modal, persaingan harga tidak sihat, kelemahan pengurusan kewangan dan teknikal, kebergantungan kepada projek kerajaan serta kesukaran naik ke gred lebih tinggi.

Sehingga 4 Februari 2026, terdapat 66,233 kontraktor G1 berdaftar di seluruh negara, dengan 72% (47,575) daripadanya Bumiputera — hasil pembukaan semula pendaftaran G1 pada 2019. Namun, peluang pendaftaran sahaja tidak menjamin kelangsungan perniagaan; pendekatan lebih strategik dan mampan diperlukan.

Hasil dialog ini akan dijadikan rujukan bagi menambah baik dasar, mekanisme perolehan dan program pembangunan kapasiti, termasuk memperkukuh laluan kenaikan gred secara lebih sistematik. Kontraktor juga digesa mengadaptasi teknologi seperti BIM, pendigitalan dan pengurusan kos berasaskan data serta mempelbagaikan skop kerja bagi meningkatkan daya saing.

Kerajaan melalui MOF dan CIDB turut meneliti penambahbaikan struktur perolehan dan syarat pendaftaran, di samping melaksanakan program seperti ACE, SFERA, SkillTechpreneur dan CEKAP+ bagi memperkukuh ekosistem kontraktor G1 dan G2.

KKR dan CIDB komited menyokong pembangunan kontraktor Bumiputera secara inklusif dan mampan selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0