Langkau ke kandungan utama
1

Institut Kanser Negara dibuka Dua Bulan Lagi

PUTRAJAYA 18 September. - Institut Kanser Negara (IKN) yang berperanan sebagai pusat rujukan berprestij untuk rawatan, latihan, penyelidikan dan pencegahan penyakit barah dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pusat rawatan dengan kapasiti 252 katil itu telah disiapkan pada 16 Ogos lalu iaitu dua minggu lebih awal berbanding jadual asal.

Katanya, IKN yang menelan kos sebanyak RM693 juta itu mempunyai sembilan wad, unit rawatan rapi, empat dewan bedah, unit rawatan harian onkologi dan klinik pesakit luar yang merangkumi klinik onkologi, klinik perubatan nuklear dan klinik multi disiplin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan IKN daripada Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Mohd. Noor Yaacob kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, YB Datuk Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Timbalan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Projek IKN dilaksanakan secara reka dan bina oleh kontraktor Kiara Teratai Sdn. Bhd. di mana pembinaannya telah dimulakan pada 1 September 2010 bersebelahan dengan Hospital Putrajaya.

Dalam pada itu, YB Datuk Fadillah berkata, pembinaan IKN melibatkan bangunan utama pusat rawatan selain penyediaan komponen klinikal utama yang terdiri daripada perkhidmatan radioterapi dan onkologi, perubatan nuklear, penjagaan paliatif serta pembedahan onkologi.

"Bangunan IKN turut melibatkan sistem rawatan sisa nuklear di mana reka bentuk tersebut adalah termoden dan memenuhi piawaian antarabangsa bagi pengumpulan dan pembuangan sisa radioaktif yang lebih komprehensif," katanya dalam kenyataan. - Utusan

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Image removed.

Tarikh Dan Waktu Acara