Najib umum RM28j bina kuarters baru JKR
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan peruntukan RM28 juta membina kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) yang baru bagi menggantikan kuarters jabatan itu yang serba kekurangan dan berkeadaan usang di Batu 2 1/2 Jalan Cheras, dekat sini.
Perdana Menteri yang melakukan lawatan mesra ke kuarters itu di sini, semalam, berkata sebanyak 120 unit kuarters baru JKR kelas G itu akan dibina di Batu 4 1/2 Jalan Sungai Besi, di sini yang dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.
"Baru-baru ini Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman (Abu Mansor) memaklumkan kepada saya mengenai kedudukan kakitangan JKR yang tinggal di dalam kuarters yang begitu buruk dan terhimpit kedudukan mereka.
"Jadi, beliau sendiri mencadangkan kepada saya untuk meninjau sendiri keadaan yang berlaku dan terpaksa dilalui setiap hari oleh kakitangan JKR dan hari ini saya datang meninjau," katanya yang juga Menteri Kewangan pada sidang media selepas meninjau keadaan kuarters berkenaan kira-kira setengah jam.
Jun lalu, Shaziman yang membuat lawatan kerja ke kuarters JKR itu terkejut apabila melihat kediaman kakitangan jabatan itu serba kekurangan, berkeadaan usang dan saiz lebih kecil daripada rumah kos rendah.
Shaziman juga tidak berpuas hati dengan persekitaran kuarters berkenaan yang membabitkan laluan antara tiga blok itu kerana kotor dengan longkang tersumbat, semak dan boleh menjadi sarang ular serta tikus.
Kuarters berkenaan didiami kira-kira 50 keluarga yang menempatkan kakitangan Kumpulan Sokongan Dua, terdiri daripada pekerja bahagian pertukangan, tukang cat dan pemandu.
Najib berkata, pembinaan kuarters baru itu membabitkan dua blok setinggi lapan tingkat dengan setiap unit mempunyai keluasan 110 meter persegi, ruang tamu, ruang makan, dapur dan masing-masing dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan bilik air.
Perdana Menteri berkata, kuarters baru itu akan dilengkapi dengan 200 tempat letak kereta, taman permainan, tadika, surau dan dua gelanggang futsal.
"Saya mengumumkan perkara ini kerana tindakan segera perlu diambil untuk membangunkan semula kuarters baru di kawasan baru yang sudah ditetapkan itu dan JKR akan memanggil tender sedikit masa lagi," katanya.
Ditanya mengenai kuarters yang berusia lebih 30 tahun itu, Najib berkata, keadaannya sangat daif dan tidak lagi sesuai untuk didiami dan ia akan dirobohkan selepas penghuni berpindah ke tempat baru.
"Separuh daripadanya hanya mempunyai satu bilik saja yang kemudian ditambah sendiri oleh penghuni. JKR, dia buat bangunan dan jalan raya yang cantik untuk orang lain, tetapi kakitangan dia tertinggal sikit," katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau akan meneruskan pendekatan tinjauan mesra ke semua tempat dan membabitkan semua golongan rakyat di negara ini.
"Ini adalah pendekatan yang saya lihat amat sesuai dan bila saya buat tinjauan mesra ini, ia tidak terhad kepada melihat peniaga kecil ataupun bagi orang biasa tetapi juga kakitangan kerajaan juga," katanya.
Ditanya mengenai kuarters yang berusia lebih 30 tahun itu, Najib berkata, keadaannya sangat daif dan tidak lagi sesuai untuk didiami dan ia akan dirobohkan selepas penghuni berpindah ke tempat baru.