RM87.9 JUTA DIPERUNTUKKAN BAGI PENYELESAIAN KEKAL ISU LUBANG BENAM JALAN LOJING–GUA MUSANG (FT185)
LOJING – Kerajaan MADANI menzahirkan komitmen padu dalam menyelesaikan isu lubang benam berulang di FT185 Seksyen 78.60, Jalan Lojing–Gua Musang dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM87.9 juta bagi pelaksanaan projek penyelesaian kekal.
Kejadian yang berlarutan sejak penghujung tahun 2024 ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya, malah turut memberi kesan kepada aktiviti ekonomi setempat. Berdasarkan taklimat teknikal, insiden ini berpunca daripada faktor geologi dan hidrologi yang kompleks, yang memerlukan intervensi kejuruteraan yang menyeluruh.
Bagi menangani punca sebenar isu ini secara jangka panjang, projek ini akan melibatkan:
i) Pembinaan sebuah jambatan baharu berstruktur bertingkat dengan empat lorong dua hala.
ii) Pembaikan jalan tuju sepanjang 200 meter.
Sementara menantikan penyelesaian kekal ini siap, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah pun melaksanakan langkah kawalan jangka pendek bagi memastikan laluan kekal selamat digunakan. Ini termasuk penyediaan pelan pengurusan trafik, laluan lencongan, dan kerja-kerja pembaikan sementara di tapak.
Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama JKR akan terus memantau rapat setiap fasa pelaksanaan projek ini bagi memastikan ia berjalan lancar mengikut perancangan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada seluruh penduduk setempat serta pengguna jalan raya atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh ini.
- Log in to post comments