LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE PROJEK MEMBINA JALAN DARI LUKUT KE KAMPUNG SIRUSA MELALUI KAMPUNG PAYA DAN KAMPUNG BAGAN PINANG | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE PROJEK MEMBINA JALAN DARI LUKUT KE KAMPUNG SIRUSA MELALUI KAMPUNG PAYA DAN KAMPUNG BAGAN PINANG

PORT DICKSON – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, hari ini mengadakan lawatan pemantauan ke Projek Membina Jalan Dari Lukut ke Kampung Sirusa melalui Kampung Paya dan Kampung Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Projek ini melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 10 kilometer mengikut spesifikasi JKR R2, termasuk kerja cerun, saliran, pembetungan, struktur, utiliti dan kerja sokongan berkaitan. Dengan harga kontrak semasa RM81.92 juta, projek ini dijadualkan siap pada 10 Ogos 2027 dan setakat 25 Jun 2026 telah mencapai kemajuan fizikal 60.57 peratus, berbanding jadual 58.20 peratus, iaitu 43 hari lebih awal.

Projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah KKDW ini dibiayai melalui peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya JKR Negeri Sembilan. Lawatan ini bertujuan meninjau kemajuan projek, memastikan pelaksanaan mengikut jadual, spesifikasi dan standard ditetapkan, serta meneliti isu di tapak.

Apabila siap, projek ini akan meningkatkan jaringan jalan raya antara Lukut, Kampung Paya, Kampung Bagan Pinang dan Kampung Sirusa, memperbaiki kebolehcapaian, memendekkan masa perjalanan, melancarkan trafik dan memudahkan akses ke kemudahan awam serta kawasan pelancongan di Port Dickson. Ia juga dijangka merangsang aktiviti ekonomi setempat melalui perdagangan, pelancongan, peluang pekerjaan dan pelaburan baharu.

Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI, Kementerian Kerja Raya kekal komited memastikan projek infrastruktur dilaksanakan secara cekap, berkualiti dan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4