Jawatankuasa bebas siasat bumbung stadium runtuh ditubuh - Shaziman | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 5 Jun - Jawatankuasa bebas bagi menyiasat kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh yang ditubuhkan hari ini akan menyiapkan laporan awal siasatan selewat-lewatnya sebulan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, bagaimanapun jawatankuasa yang terdiri daripada 10 pakar pelbagai bidang itu dikehendaki menghantar laporan penuh kepada Kabinet dalam tempoh enam bulan lagi.

Beliau berkata, mereka juga bebas memberikan pandangan dan turut dikehendaki menyerahkan laporan susulan kepada kementeriannya setiap bulan untuk pemantauan.

"Kumpulan tersebut juga berkuasa melantik perunding yang dirasakan perlu untuk membantu siasatan dengan memaklumkan kepada Kementerian Kerja Raya terlebih dahulu," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melawat sekitar lokasi mendapan tanah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah di sini hari ini.

Menurut Shaziman, kumpulan tersebut terdiri daripada pakar kejuruteraan, jurubina dan pakar struktur besi turut dianggotai seorang wakil dari pejabat Peguam Negara, seorang pegawai Jabatan Audit Negara dan seorang ahli akademik dari sebuah institusi pengajian tinggi awam.

"Mereka dipertanggungjawabkan mengemukakan langkah-langkah yang perlu diambil pada masa hadapan bagi mengelakkan insiden sedemikian berulang,'' katanya.

Dalam perkembangan lain Shaziman berkata, kira-kira RM2 juta diperlukan untuk proses pembaikan di SMK Setapak Indah akibat mendapan tanah di situ.

Bagaimanapun, tegasnya, sekolah yang dibina di atas bekas lombong itu masih selamat untuk diduduki oleh 1,350 pelajarnya.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana struktur bangunan masih kukuh, mungkin (hanya ada gangguan) daripada segi keselesaan,'' katanya.

Menurutnya, proses pembaikan di sekolah itu akan siap sepenuhnya sebelum peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada Oktober ini.

Lawatan Shaziman hari ini merupakan susulan kunjungan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 April lalu.

Beberapa kawasan termasuk longkang, tempat pembentungan dan lantai konkrit sekitar sekolah itu mendap sehingga hampir satu meter, sementara beberapa dinding bangunannya pula didapati retak.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia