PETALING JAYA: Keunikan serta kecanggihan Hentian Rawat & Rehat (R&R) Sungai Perak yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) melayakkan kawasan rehat berkenaan menerima Anugerah Penghargaan Pelancongan Negeri Perak 2009, baru-baru ini.
Bukan itu saja, kawasan rehat yang turut menampilkan aspek pelancongan dengan menara tinjau yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan Sungai Perak membuatkan ia diiktiraf juga pada kategori Anugerah Utama oleh Persatuan Pelancongan Negeri Perak.
Ketua Pegawai Operasi Plus, Nik Airina Nik Jaffar, berkata Plus dan Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) dan R&R Sungai Perak adalah penerima bersama anugerah utama.
“Plus amat memberi penekanan dalam membangunkan kawasan R&R dan hentian sebelah kerana kawasan rehat berkenaan adalah salah satu daripada komponen penting sistem lebuh raya dari aspek keselamatan, di mana ia menyediakan tempat persinggahan untuk berehat serta kemudahan dalam perkhidmatan perjalanan.
“Di samping itu, R&R di sepanjang lebuh raya ini juga memainkan peranan mempromosikan sektor pelancongan tempatan dan memberi peluang pekerjaan serta meningkatkan tahap sosio ekonomi penduduk sekitar,†katanya selepas menerima anugerah itu yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Penghargaan itu diberikan bagi menghargai sumbangan dan usaha yang dijalankan oleh organisasi dan perbadanan di dalam pelbagai bidang yang banyak menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan di negeri Perak.
Katanya, konsep tema yang diguna pakai untuk menjadikan R&R sebagai hentian yang menarik dan unik banyak membantu mempromosikan budaya dan produk tempatan.