Kabinet benar dedah laporan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

TAMPIN 5 Dis. - Kabinet meluluskan serta merta permohonan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk membolehkan laporan siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Disember tahun lalu didedahkan kepada umum.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, keputusan itu dibuat hasil daripada perbincangan Kabinet Jumaat lalu, demi memastikan kepentingan dan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan terpelihara.

'''Kita berharap MPAJ tidak hanya mendedahkan laporan ini semata-mata, tetapi perlu memahami dan melakukan perkara yang dicadangkan untuk memperbaiki keadaan di kawasan itu supaya kebarangkalian kejadian sama berulang dapat dikurangkan terutama ketika musim hujan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis gotong-royong membaiki rumah keluarga miskin di Kampung Baru Air Kuning Selatan, Gemencheh dekat sini hari ini.

Pada 25 November lalu, MPAJ menulis surat kepada Kementerian Kerja Raya bagi memohon laporan mengenai kejadian tanah runtuh di kawasan terbabit tidak lagi diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Permohonan itu dibuat MPAJ selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan laporan teknikal berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, yang kemudian mahu ia didedahkan kepada orang ramai. 

Dalam tragedi awal pagi 6 Disember tahun lepas, lima orang terkorban, manakala 14 banglo ranap di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang.

Shaziman turut menegaskan tindakan kerajaan meluluskan permohonan itu bukan kerana ia sudah tersebar dalam Internet, sebaliknya keputusan itu diputuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Kita membuat laporan ini untuk MPAJ dan kita tidak boleh mendedahkan kepada umum tanpa kebenaran mereka. Jadi, selepas mereka menulis surat memohon laporan itu didedahkan kepada umum, saya tidak boleh membuat keputusan serta merta kerana perlu mengikut prosedur, termasuk memaklumkan terlebih dulu kepada Kabinet.

''Ini adalah antara cara kita bekerja dengan mengikut prosedur yang ditetapkan dan kita tidak mahu menjadi seperti kerajaan negeri Selangor yang membuat keputusan melompat-lompat. Kita tidak menyorok apa-apa mengenai laporan ini," katanya.

Ditanya mengenai kebocoran laporan itu di beberapa laman web, Shaziman menegaskan, pihak kementerian telah pun membuat laporan polis pada 2 Disember lalu.

''Laporan itu sebenarnya sudah siap agak lama dan berada dalam simpanan kementerian dan JKR, tetapi tidak pernah tersiar dalam Internet tetapi apabila laporan itu diserahkan kepada MPAJ, kita dapati tersebar kepada orang ramai.

"Jadi, kita mengambil keputusan membuat laporan polis kerana ketika diserahkan kepada MPAJ, laporan berkenaan masih lagi di bawah Akta OSA 1972. Jadi, kita perlu menyiasat bagaimana ia boleh tersebar," katanya.

Tarikh
Surat Khabar
Mingguan Malaysia