Skip to main content
0

Perjumpaan Menteri Kerja Raya Bersama Kontraktor Kecil Kupas Cabaran Industri Pembinaan

KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini mengadakan perjumpaan dengan kontraktor kecil G1, G2 dan G3 dari Kuala Lumpur dan Selangor di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kementerian Kerja Raya.

Sesi libat urus dan interaksi ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Menteri Kerja Raya berinteraksi secara terus untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu dan cabaran yang dihadapi para kontraktor kecil dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan dan juga swasta.  Menerusi sesi ini, kontraktor kecil dapat menyuarakan pandangan kepada Menteri Kerja Raya dan juga ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian tersebut.

Antara isu yang telah disentuh termasuklah isu nilai projek bagi kontraktor G1, kontraktor dan pekerja asing, kenaikan harga bahan binaan, dana pinjaman, bayaran kursus dan juga isu pendaftaran kontraktor.

Inisiatif tahunan ini adalah sejajar dengan konsep Whole of Government Whole of Society yang diangkat sebagai salah satu tonggak Malaysia Madani yang berteraskan kesamarataan akses, nilai yang dikongsi bersama serta upaya keprihatinan Kerajaan di atas kesukaran yang dihadapi penggiat industri dalam memperkukuh pembangunan Malaysia.

Majlis ini juga selaras dengan nilai Ihsan di bawah konsep Malaysia Madani iaitu keprihatinan dan bersikap peduli di atas kesukaran yang di hadapi golongan perniaga kecil dan seterusnya meneroka kaedah yang sesuai untuk menyelesaikan isu dan cabaran yang mereka hadapi.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya Dato' Zaharul Hakim bin Abdullah, Ketua Eksekutif Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Dato' Ir. Mohd Shuhaimi Bin Hassan.

Tarikh Dan Waktu Acara