NPE setuju selesai masalah penduduk | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

PETALING JAYA - Penduduk sekitar Taman Medan dan Taman Datuk Harun yang sebelum ini membantah kewujudan Plaza Tol lebuh raya Pantai Baru (NPE) bakal menarik nafas lega selepas masalah mereka mendapat perhatian syarikat yang diberikan konsesi menguruskannya, New Pantai Expressway Sdn Bhd (NPE).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohamed Talha berkata, syarikat berkenaan sudah menyatakan persetujuan untuk menyelesaikan masalah yang selama ini membelenggu penduduk di sini.

Bagaimanapun, katanya segala keputusan penyelesaian mengambil kira kepentingan kedua-dua belah pihak iaitu orang ramai berpuas hati, manakala syarikat terbabit tidak mengalami beban kerugian.

"Menerusi perbincangan antara saya dengan syarikat berkenaan semalam, kita yakin masalah ini akan selesai sebaik mungkin berdasarkan maklum balas yang positif diterima daripada syarikat tersebut.

"Biarpun pekara ini merupakan bantahan daripada orang ramai, tetapi kita memberi peluang kepada syarikat terbabit mengemukakan idea untuk mengurangkan bebanan penduduk keran kita tahu mereka lebih arif tentang masalah ini," katanya.

Menurutnya, syarikat berkenan sudah mendengar saranan beliau menerusi aduan penduduk, sama ada memindahkan plaza tol berkenaan ke tempat lain atau mengurangkan kadar tol yang sedia ada tetapi segala keputusan bergantung kepada kajian yang akan dijalankan oleh syarikat itu.

"Syarikat terbabit sudah menyatakan persetujuan untuk menimbang permintaan penduduk dan meminta sedikit masa untuk membuat kajian sebelum perbincangan buat kali kedua pada 16 mei ini bagi mengemukakan beberapa cadangan  terbaik mereka," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat dengan beberapa wakil New Pantai Expressway Sdn Bhd, di pejabat  ADUN Taman  Medan, di sini, semalam.

Tambahnya antara cadangan yang dikemukakan pihak beliau kepada syarikat terbabit ialah mengurangkan kadar tol sekiranya meraka enggan memindahkan plaza tol berkenaan.

"Selain itu, kita juga meminta syarikat terbabit menyediakan lalauan alternative kerana ketika ini mereka yang mahu mengelak dari tol berkenaan terpaksa melalui jalan taman perumahan sehingga menimbulkan rungutan.

"Dalam masa yang sama kita minta syarikat terbabit mempertingkatkan kemudahan jalan itu seperti membina pengadang jalan sepanjang lebuh raya jalan bagi memastikan keselamatan penduduk dan menaik taraf laluan motosikal," jelasnya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian