KERAJAAN PERKUKUH KEUPAYAAN PENGUATKUASAAN KASTAM MELALUI PENYERAHAN STOR RAMPASAN BAHARU | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KERAJAAN PERKUKUH KEUPAYAAN PENGUATKUASAAN KASTAM MELALUI PENYERAHAN STOR RAMPASAN BAHARU

KUCHING – Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia hari ini secara rasmi menyerahkan Projek Pembinaan Stor Rampasan Pejabat Penguatkuasaan Kastam Kuching, Sarawak kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Majlis penyerahan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, dengan disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi KKR, MOF, JKDM, serta JKR Malaysia.

Projek bernilai RM9.98 juta ini dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) JKR Malaysia secara Konvensional Perunding bersama kontraktor utama MSD Enterprise Sdn. Bhd. Projek yang bermula pada 14 Mei 2024 ini telah berjaya disiapkan sepenuhnya dengan pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion, CPC) pada 26 Mei 2026.

Skop utama projek merangkumi pembinaan Bangunan Pejabat Operasi, Stor Rampasan dengan tiga ruang penyimpanan, Bilik Kebal, Bilik Eksibit, ruang pembakaran terbuka, serta kemudahan sokongan seperti 60 petak tempat letak kereta dan sistem Mekanikal & Elektrikal yang lengkap. Projek ini turut mengadaptasi pendekatan Pre-Approved Plan (PAP) JKR dan elemen Environmental, Social and Governance (ESG) bagi mempercepat proses reka bentuk, meningkatkan keseragaman standard, serta memastikan kecekapan tenaga dan aksesibiliti.

Penyiapan fasiliti baharu ini amat signifikan dalam menggantikan premis sewaan sedia ada, seterusnya mengukuhkan keupayaan penguatkuasaan negara menerusi pengurusan barang rampasan yang lebih selamat, teratur, dan berintegriti. Pihak JKR Malaysia akan terus memantau kontraktor sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defects Liability Period, DLP) demi memastikan kualiti dan spesifikasi projek kekal terjamin.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7