Kadar tol mungkin turun - Menteri | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR - Kadar tol lebuh raya mungkin boleh diturunkan tetapi ia tertakluk kepada keputusan kajian konsesi lebuh raya yang sedang dijalankan Kementerian Kerja Raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, penentuan sama ada kadar tol dinaikkan atau sebaliknya pada masa akan datang juga akan ditentukan oleh jumlah trafik yang melalui sesebuah lebuh raya itu.

Katanya, ia adalah antara yang terdapat pada klausa Toll Review Mechanisme yang dikemukakan kepada syarikat konsesi lebuh raya.

"Klausa itu tidak membenarkan kadar tol sesebuah lebuh raya dinaikkan sewenang-wenangnya dan ia bergantung kepada jumlah trafik.

"Sekiranya jumlah trafik melebihi sesebuah nilai, maka kenaikan kadar tol bagi lebuh raya berkenaan boleh dihindari," katanya sebagai menjawab pertanyaan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat semalam.

Tony mahu mengetahui langkah kerajaan dalam merundingkan semula ciri-ciri kontrak yang tidak seimbang antara kerajaan dengan pemegang konsesi lebuh raya sehingga membebankan pengguna dalam membayar tol.

Menurut Mohd. Zin, kerajaan sememangnya prihatin dengan beban yang perlu ditanggung rakyat yang terpaksa membayar tol yang dianggap tinggi.

Sehubungan itulah kerajaan setiasa merujuk dan menilai kembali unjuran trafik, klausa perjanjian, kadar tol serta tempoh konsesi.

"Kementerian juga akan melihat semula jumlah pembiayaan yang diperlukan bagi sesebuah pinjaman, menyelenggara dan menjalankan operasi.

"Jumlah ini kemudian akan dibandingkan dengan hasil kutipan tol dan ini dapat elakkan kenaikan kadar tol malah boleh memberikan pengurangan kadar tol," jelasnya sambil menambah faktor pampasan kepada syarikat konsesi turut akan dilihat semula.

Kajian lain yang sedang dijalankan ialah dengan mengasingkan Lebuh Raya Utara-Selatan kepada dua seksyen iaitu seksyen bandaran dan seksyen antara bandaran.

"Keputusan kajian akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan dan dengan ini masalah kenaikan kadar tol dapat dilihat semula dan rakyat tidak akan dibebankan," katanya

 

Tarikh
Surat Khabar
Kosmo