Paip bocor air limpah ke lobi | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

LOBI Parlimen dibanjiri air selepas sistem paip aluminium yang menjadi laluan mengalirkan air hujan di bangunan itu bocor, menyebabkan air melimpah masuk ke dalam saluran penghawa dingin, petang semalam. 

Kejadian jam 4.30 petang itu menyebabkan kawasan laluan ke bilik Yang Dipertua Dewan Rakyat, dibanjiri hujan yang mencurah daripada saluran penghawa dingin berkenaan selama hampir 15 minit dan memaksa kakitangan Parlimen segera menutup kawasan terbabit. 

Ia adalah kejadian bocor ketiga di Parlimen sejak tahun lalu selepas pertama berlaku di bahagian bumbung Dewan Persidangan Dewan Rakyat, manakala kejadian kedua membabitkan di kawasan Bilik Media. 

Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Kamaruddin Baria, berkata kebocoran kali ini ialah kejadian yang tidak disangka memandangkan tiada kebocoran berlaku walaupun berlaku hujan lebat sebelum ini. 

Menteri Kerjaraja, Datuk Mohd Zin Mohamed, bagaimanapun berkata, kejadian berkenaan tiada kena mengena dengan kebocoran bumbung bangunan, sebaliknya disebabkan paip yang sudah berusia dan mungkin bocor. 

Katanya, aliran deras air hujan yang memasuki saluran paip berbentuk empat segi, sehingga ia tidak dapat ditampung dan melimpah ke dalam saluran penghawa dingin juga menjadi punca kebocoran itu berlaku. 

Beliau berkata, kementerian sudah menetapkan jadual kerja membaik pulih secara besar-besaran dan komprehensif membabitkan aspek mekanikal dan elektrikal, selain struktur bangunan dilakukan di Parlimen bulan depan. 

Katanya, beliau juga sudah melawat sistem kalis air yang baru dipasang di bangunan itu semalam dan mendapati kejadian bocor semalam tiada kaitan dengannya. 

"Kementerian akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengenai peruntukan untuk kerja membaik pulih secara komprehensif bulan depan sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk kelulusan," katanya pada sidang media di Parlimen. 

Sebelum ini, akhbar melaporkan punca kebocoran di Bangunan Parlimen disebabkan sampah bahan binaan yang terkumpul di bumbung hingga merosakkan sistem penyerapan sedia ada. 

JKR pula pernah melaporkan ketiadaan penyelenggaraan rutin bumbung Parlimen menyebabkan hakisan dan kelusuhan bahan yang teruk pada lapisan simen permukaan akibat perubahan cuaca, terutama hujan lebat berterusan pada awal tahun lalu. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian