KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan kemelut di Bandar Bukit Mahkota akan selesai dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, beliau telah menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya agar jalan masuk dan keluar ke kawasan itu dibuka demi kepentingan penduduk di situ.

Tinjauan Kosmo! kawasan tersebut semalam pula mendapati, penduduk Bandar Mahkota Cheras berpuas hati apabila Menteri Besar mengumumkan masalah itu akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Seramai kira-kira 500 orang penduduk di kawasan hadir mendengar keputusan menteri besar itu.

Sementara itu, keadaan trafik di kawasan tersebut didapati berjalan lancar walaupun pergerakan kenderaan agak perlahan kerana pemandu perlu berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan.

Malah beberapa bongkah konkrit yang dirobohkan semalam juga masih ada dan belum dibersihkan.

Dalam pada itu di bangunan Parlimen, Jawatankuasa Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras menyerahkan memorandum kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendesak Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed membenarkan orang ramai menggunakan jalan utama yang menimbulkan kontroversi itu.

Setiausaha jawatankuasa tersebut, Tan Han Kuo berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan dengan segera kerana keadaan sudah tidak terkawal sehingga mencetuskan pergaduhan.

"Insiden 10 orang termasuk Ahli Parlimen, wartawan dan wanita dipukul adalah sesuatu yang serius dan jika tidak diatasi ia akan menjadi semakin tidak terkawal.

"Pihak Kementerian Kerja Raya perlu menjelaskan sama ada Grand Saga dibenarkan berbuat demikian sehingga menyebabkan orang ramai terpaksa memandu sejauh enam kilometer dan membayar tol 90 sen," katanya.

Tan Kuo dalam pada itu turut mempersoalkan tindak- tanduk polis yang didakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi menghentikan pergaduhan yang berlaku Selasa lalu.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamid Albar ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penduduk itu menjelaskan ia sekadar andaian.

"Kehadiran polis di sana adalah bertujuan untuk memastikan tidak timbul kekecohan yang boleh membawa kepada ketidakstabilan.

"Semua pihak yang terbabit perlu bertindak mengikut undang-undang kerana negara kita mempunyi undang-undang," katanya.