Penduduk serah memo kepada Ir. Zin | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 29 Mei - Kira-kira 20 penduduk Bandar Mahkota Cheras hari ini berhimpun secara aman di hadapan bangunan Parlimen bagi menggesa kerajaan membuka semula jalan masuk ke kawasan perumahan mereka.

Mereka meminta Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed supaya mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah antara mereka dan syarikat Grand Saga Sdn. Bhd., yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.

Penduduk mendakwa laluan itu disekat dengan pembinaan tembok batu menyebabkan mereka terpaksa membuat lencongan sejauh lapan kilometer dan membayar sekurang-kurangnya dua tol sehari untuk keluar dan masuk ke kawasan perumahan.

Mereka mula berkumpul di luar bangunan Parlimen sejak pukul 9 pagi sambil memegang sepanduk dan antaranya berbunyi 'Menteri Kerja Raya, Tolong Rakyat Buka Jalan'.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang berada di situ telah membawa dua wakil penduduk ke dalam Parlimen untuk menyerahkan memorandum berkenaan kepada menteri tersebut.

Kumpulan tersebut bersurai kira-kira pukul 10.30 pagi.

Perbalahan antara penduduk dan Grand Saga semakin serius apabila laluan tersebut yang dihalang dengan tembok batu dirobohkan oleh penduduk berkenaan sebanyak dua kali sejak kelmarin.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia