Jalan Bandar Mahkota Cheras ditutup semula | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

BANDAR MAHKOTA CHERAS - Isu tembok penghalang di Bandar Mahkota Cheras mencapai tahap klimaksnya apabila tembok itu didirikan semula oleh konsesi Lebuh Raya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn. Bhd. (Grand Saga), semalam.

Ekoran penolakan permohonan penduduk Bandar Mahkota Cheras bagi mendapatkan perintah injunksi terhadap pemegang konsesi itu oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Mei lalu maka pembinaan semula tembok mula dilakukan.

Kerja-kerja pembinaan mula dilakukan jam 2 pagi oleh pihak kontraktor yang dilantik Grand Saga dan berakhir lebih kurang jam 4 petang dengan mendirikan tembok konkrit lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Jalan Persiaran Mahkota yang menghubungkan penduduk terus ke Bandar Tun Hussein Onn dibuka pada 21 April lalu setelah hampir dua tahun jalan ini ditutup dan tidak boleh dilalui oleh penduduk di lebih 10 taman perumahan di bandar ini.

Pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras, Tan Boon Wah berkata, pihaknya hanya menunggu pengumuman daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat mengenai tembok penghalang tersebut.

"Kami tidak akan membuat sebarang rayuan mengenai pembukaan semula jalan ini dan hanya menunggu pengumuman selanjutnya daripada kerajaan  negeri dan pusat mengenai apa-apa keputusan yang akan diusulkan kemudian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, sepanjang pembinaan tembok itu keadaan terkawal dan tidak berlaku kekecohan serta pergaduhan antara penduduk dan kontraktor.

Hanya di saat-saat akhir tembok ini disiapkan berlaku sedikit pertengkaran di kalangan mereka seperti sebelum ini.

Pemecahan semula tembok yang didirikan ini hanya akan dilakukan sekiranya arahan dari pihak mahkamah atau pihak berkuasa dikeluarkan maka ia akan dipecahkan mengikut arahan yang diberikan. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian