SESI LIBAT URUS KKR BERSAMA PEMAIN INDUSTRI: TRANSFORMASI EKOSISTEM PENGIKLANAN LUAR YANG LEBIH TERSUSUN DAN SELAMAT | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

SESI LIBAT URUS KKR BERSAMA PEMAIN INDUSTRI: TRANSFORMASI EKOSISTEM PENGIKLANAN LUAR YANG LEBIH TERSUSUN DAN SELAMAT

KUALA LUMPUR — Kementerian Kerja Raya hari ini telah menganjurkan Majlis Libat Urus Bersama Pemain Industri Pengiklanan: Pengurusan Struktur Paparan Iklan Dalam Rizab Jalan Persekutuan di bawah Seksyen 85A Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bertempat di Bilik Tanjung, Kementerian Kerja Raya.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya. Turut hadir, YBhg. Dato’ Seri Azman Bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dan YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan Bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

Penganjuran sesi libat urus ini merupakan platform penting bagi membincangkan hala tuju dan pendekatan baharu berkaitan pengurusan struktur paparan iklan di dalam Rizab Jalan Persekutuan, termasuk pelaksanaan pendekatan “single authority” yang akan menyelaraskan proses kelulusan secara berpusat melalui KKR berkuat kuasa mulai 1 Mei 2026.

Pendekatan ini dijangka dapat memperkemas urusan permohonan dan kelulusan, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pemain industri, di samping memastikan aspek keselamatan pengguna jalan raya, integriti kandungan iklan dan kepentingan awam terus diberi keutamaan.

KKR kekal komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama pemain industri dalam mewujudkan ekosistem pengiklanan luar yang lebih tersusun, selamat, beretika dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4