Laluan Bandar Mahkota Cheras dinaik taraf | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 5 Jun - Persimpangan Bandar Mahkota Cheras (BMC) ke Lebuh raya Cheras-Kajang di persimpangan Bandar Tun Hussein Onn yang sebelum ini mencetuskan kontroversi telah dinaik taraf bagi melancarkan aliran trafik khususnya pada waktu puncak.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, selain dibaik pulih, sebanyak enam buah lampu isyarat tambahan turut dipasang di persimpangan berkenaan.

"Kita lihat proses baik pulih telah pun berjalan, malah pemasangan lampu isyarat juga akan dapat membantu aliran trafik terutamanya pada waktu pagi dan petang apabila orang awam pergi serta balik dari kerja,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan susulan bagi meninjau keadaan laluan tersebut di sini semalam.

Minggu lepas, Mohd. Zin mengumumkan keputusan Kabinet agar persimpangan tersebut dibuka sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung pertikaian penutupan laluan berkenaan antara pemegang konsesi lebuh raya, Grand Saga Sdn. Bhd. (Grand Saga) dan pemaju BMC, Narajaya Sdn. Bhd. (Narajaya).

Dengan keputusan itu, penduduk di kawasan terbabit kini boleh menggunakan laluan tersebut untuk ke Lebuh Raya Cheras-Kajang, berbanding terpaksa melalui Bandar Sungai Long dan membayar tol di Plaza Tol Batu 11 sebelum ini.

Kontroversi itu bermula setelah laluan itu disekat dengan tembok penghadang oleh Grand Saga pada Januari 2006 bagi menghalang kemasukan terus trafik ke Bandar Mahkota Cheras melalui Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn bagi mengelak daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.

Menurut Mohd. Zin, Grand Saga juga telah bersetuju untuk tidak lagi memasang tembok di laluan itu bagi menyekat penduduk menggunakan jalan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, syarikat konsesi itu berhak untuk menuntut kerugian yang terpaksa mereka tanggung daripada pihak Narajaya.

"Di pihak kerajaan yang mana kita ada perjanjian konsesi dengan Grand Saga dan mereka telah memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menanggung kerugian ekoran isu berbangkit di laluan berkenaan,'' ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Taliworks Corporation Berhad, Abdul Rahman Siraj berkata, pihaknya telah melakukan kerja-kerja pembersihan laluan termasuk mengalihkan tembok yang dibina oleh Grand Saga sebelum ini.

Beliau memberitahu, pemasangan lampu isyarat dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua hari lagi dan laluan trafik akan kembali normal selepas itu.

Mengulas mengenai isu pembukaan laluan di BMC, Abdul Rahman menjelaskan, buat masa ini, laluan itu akan dibuka buat sementara waktu sehingga mahkamah membuat keputusannya.

Katanya lagi, pihaknya juga telah bersetuju untuk tidak menuntut sebarang pampasan daripada kerajaan.Taliworks adalah antara pemegang saham utama dalam Cerah Sama Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang memiliki Grand Saga.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia