KAJANG: Walaupun diberi tempoh seminggu untuk membersihkan sisa bongkah batu penghadang di persimpangan Bandar Mahkota Cheras, kontraktor yang dilantik Grand Saga Sdn Bhd sudah memulakan operasi mereka selepas empat hari laluan dibuka secara rasmi.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Hal Ehwal Korporat Grand Saga, Zainal Abidin Ali, berkata proses pembersihan sedang giat dijalankan pihaknya bagi memastikan laluan itu lancar untuk mengelakkan sebarang masalah.
"Setakat ini kontraktor yang dilantik sudah pun mula menjalankan tugas mereka mengalihkan bongkah batu yang masih ada.
"Kita minta penduduk bersabar bagi membolehkan kerja pembersihan dijalankan secepat mungkin kerana kami tidak mahu sisa bongkah itu mengganggu kelancaran trafik di persimpangan itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Jumaat lalu, Kabinet memutuskan jalan pintas tanpa tol ke Lebuh Raya Cheras - Kajang itu dibuka sehingga kes itu diselesaikan di mahkamah.
Tinjauan Berita Harian di kawasan itu mendapati, laluan sudah dibuka sepenuhnya dan pihak Grand Saga giat menjalankan kerja pengalihan bongkah batu yang sebelum ini diletakkan di bahu jalan.
Walaupun pergerakan kenderaan agak lancar, ada masanya agak kelam kabut memandangkan kini ada empat laluan.
Beberapa penduduk yang ditemui juga gembira dengan pembukaan jalan yang selama ini mencetuskan kontroversi dan pergaduhan sehingga penduduk bertindak merobohkan tembok penghadang berkenan.
Peniaga, Norzuraini Said, 31, berkata sejak laluan kontroversi itu dibuka empat hari lalu, penduduk tidak lagi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sepanjang dua kilometer sebelum ini.
"Saya kini boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi berpusing jauh untuk keluar ke lebuh raya dan menghadapi kesesakan lalu lintas yang teruk walaupun tinggal tidak sampai satu kilometer daripada lebuh raya.
"Apa yang penting bongkah batu yang masih ada harus segera dialihkan supaya tidak menjadi punca kemalangan atau menyebabkan halangan di persimpangan itu," katanya.
Kontraktor, Husnizar Rashid, 30, berkata sejak dua tahun tinggal di situ, beliau menghadapi kesukaran untuk keluar dan masuk ke lebuh raya namun sejak laluan itu dibuka masalah itu tidak timbul lagi.
"Bayangkan jika mahu ke kedai di Bandar Tun Hussein Onn yang jaraknya tidak sampai tiga kilometer saya terpaksa melalui jalan sejauh 10 kilometer. Saya terpaksa keluar awal dari rumah untuk mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas yang panjangnya hampir dua kilometer.
"Saya bersyukur kerajaan membuka laluan itu untuk kemudahan penduduk dan tindakan pantas Grand Saga mengalihkan bongkah batu itu juga harus dipuji," katanya.